Warisan Tubuh Jawatankuasa Khas Tingkat Khidmat Di Kawasan Cina


KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) mengambil langkah setapak ke hadapan bagi mengukuhkan lagi kedudukan parti itu di kawasan masyarakat Cina.

Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong berkata, sebelum ini kawasan Cina bukan kekuatan Warisan.

Walaupun sokongan masyarakat Cina terhadap Warisan amat baik namun, parti itu mahu terus menangani isu-isu yang sering dihadapi masyarakat Cina di Sabah.

Justeru, Warisan menubuhkan Jawatankuasa Cina Negeri Sabah bagi memperkukuhkan lagi gerak kerja parti bagi menarik lebih banyak sokongan masyarakat Cina.

Beliau berkata, sudah tiba masa untuk parti ini mempertingkatkan perkhidmatan mereka di kawasan pengundi Cina.

Kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini menyebabkan Warisan tidak memberi fokus kepada kawasan Cina.

Namun situasi sekarang agak berbeza dan pucuk pimpinan Warisan juga mengarahkan wakil rakyat untuk mempertingkat gerak kerja di kawasan yang masih perlu diperkukuhkan.

Selaku parti berbilang kaum, Warisan mahu memastikan tiada mana-mana kaum yang tertinggal daripada menyuarakan masalah yang mereka hadapi kepada wakil-wakil rakyat Warisan.

Jawatankuasa itu akan dipengerusikan sendiri oleh Junz manakala, Timbalan Pengerusi adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, George Hiew.

ADUN Tanjung Aru itu berkata, penubuhan jawatankuasa tersebut bukan bertujuan merebut kerusi di kawasan Cina sebaliknya, mereka mahu memberi fokus untuk menangani isu-isu yang dihadapi masyarakat Cina di negeri ini.

Di samping itu, Warisan juga akan membuka keahlian di kawasan-kawasan yang dihuni masyarakat Cina kerana ada permintaan daripada akar umbi untuk menyertai parti ini.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.