Warga emas berkongsi detik cemas rumah kedai terbakar


KUALA LUMPUR, 12 Jan — Bagai jatuh ditimpa tangga, itulah gambaran nasib seorang warga emas apabila lot rumah kedai yang baru disewanya selama dua minggu, terbakar dalam insiden kebakaran di Jalan Datuk Haji Eusoff, di sini, petang tadi.

Maimun Mohd Wahi, 64, berkata dia turut terjejas dalam bencana banjir baru-baru ini apabila rumah yang disewa di Taman Chendana, Kampung Baru, di sini, turut dinaiki air yang memaksanya berpindah ke rumah kedai terbabit.

Menceritakan detik cemas dalam kejadian kebakaran itu kepada Bernama, Maimun berkata dia hampir hilang nyawa apabila kepulan asap daripada kebakaran dari tingkat satu pantas memenuhi ruang kediamannya, sekali gus menyukarkannya bernafas.

“Pada waktu itu, asap hitam memenuhi ruang rumah saya. Saya tidak dapat lihat dengan jelas kerana asap begitu tebal dan sukar untuk bernafas.

“Saya terus menuju ke arah tingkap dan membukanya untuk keluarkan kepulan asap itu. Saya melambaikan tangan dan menjerit di tingkap bagi meminta pertolongan,” katanya dengan linangan air mata.

Maimun dalam pada itu turut memuji tindakan pantas pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dalam melaksanakan kerja-kerja menyelamat penghuni di lokasi semasa kejadian.

“Saya nampak jentera bomba tiba di lokasi dan mereka (anggota bomba) terus bergegas naik untuk selamatkan kami. Bomba menarik saya keluar dan suruh saya capai kain basah untuk menutup muka. Syukur saya telah diselamatkan.

“Saya rasa kalau lewat sedikit sahaja sudah tentu lebih banyak perkara yang tidak diingini akan berlaku,” katanya yang turut memaklumkan bahawa dia hampir pengsan kerana kesukaran bernafas.

Seorang lagi mangsa Harun Long, 68, berkata semasa kejadian dia tidak berada di lot rumah kedai yang sewanya, yang dipanggilnya ‘rumah’ itu.

“Saya semasa kebakaran itu sedang berada di kedai makan berhampiran dan tiba-tiba banyak jentera bomba datang dan saya ingat terbakar di tempat lain. Allahuakhbar, rupanya asap tebal hitam keluar dari rumah saya,” katanya yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati Jabatan Kebajikan Masyarakat turut berada di lokasi kejadian, untuk membantu mangsa kebakaran di bangunan rumah kedai empat tingkat di Jalan Datuk Haji Eusoff, di sini, pada 5 petang tadi.

— BERNAMA



Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *