Vaksin Covid-19: Wanita mengandung, menyusu anak nanti dulu


Wanita mengandung dan yang menyusukan anak disaran menangguhkan pengambilan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech bagi mengelak sebarang kesan sampingan mungkin wujud.

Pensyarah Perubatan Mikrobiologi Universiti Putra Malaysia (UPM) Niazlin Mohd Taib berkata, ini kerana buat masa ini belum ada bukti klinikal untuk menyokong penggunaan vaksin itu dalam kalangan golongan berkenaan.

“Ibu mengandung tidak boleh mengambil vaksin yang menggunakan ‘live virus’ dan kalau ikutkan vaksin Pfizer-BioNTech ini tidak menggunakan ‘live virus’, tetapi ia menggunakan messenger ribonucleic acid (mRNA).

“Jadi sepatutnya tidak menjadi masalah untuk ibu mengandung dan yang menyusu bayi untuk mengambil vaksin tersebut memandangkan ia adalah mRNA.

“Namun, kerana tidak ada data lagi termasuklah daripada Pfizer sendiri, maka kalau boleh tunggu dahulu,” katanya dalam program Koresponden yang disiarkan secara langsung menerusi Bernama TV.

Mengenai alahan mungkin wujud pada mereka yang menerima suntikan vaksin Covid-19, beliau berkata orang ramai tidak usah khuatir jika tidak mempunyai apa-apa alahan terhadap kandungan di dalam vaksin tersebut.

Beliau berkata, vaksin Pfizer-BioNTech, selain mRNA sebagai kandungan aktif utama, ia juga mempunyai pelbagai bahan kimia yang tidak aktif termasuklah polyethylene glycol (PEG) yang berkemungkinan menyebabkan alahan.

“PEG sebenarnya diguna pakai dalam kehidupan seharian seperti dalam pengawet makanan dan minuman serta kadang-kadang ada dalam krim untuk kulit.

“Apa yang penting, kita sendiri tahu apakah alahan-alahan kita terhadap makanan ataupun ubat-ubatan, dan maklumkan kepada pegawai kesihatan ketika hendak mendapatkan suntikan vaksin tersebut,” katanya.

Niazlin berkata, bagaimanapun mereka yang mempunyai alahan tetap boleh mengambil suntikan tersebut dengan langkah berjaga-jaga, malah akan ada pekerja bahagian kecemasan bersedia untuk bertindak dengan segera sekiranya berlaku alahan.

Pada masa sama, katanya, mereka yang pernah mendapat alahan teruk terhadap vaksin sebelum ini tidak digalakkan untuk mengambil suntikan tersebut, malah mereka yang mempunyai imuniti yang sangat rendah termasuklah melalui kemoterapi, dikecualikan daripada mengambil vaksin berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *