UMS Warta 62 Ekar Tanah sebagai Hutan Simpan –


KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) mewartakan seluas 62 ekar tanah di dalam kampus sebagai hutan simpan bagi tujuan pembangunan pendidikan dan penyelidikan hutan.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin, selain tujuan tersebut, hutan simpan yang dikenali sebagai SFERA@UMS juga akan digunakan untuk aktiviti penanaman pokok sebagai menyokong Program Penghijauan Malaysia melalui kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025.

“Selaras dengan aspirasi negara untuk mengekalkan kawasan hutan sebanyak 50 peratus, UMS dengan bangganya mewartakan sebahagian daripada tanah berhutan di UMS kepada Fakulti Perhutanan Tropika (FPT) khas bagi tujuan penyelidikan hutan secara mapan dalam bidang sains perhutanan.

“Langkah ini adalah bagi mencontohi negara-negara maju seperti Jerman dan Jepun yang telah lama membangunkan satu kawasan khas untuk hutan universiti bagi tujuan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena majlis sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat UMS, di SFERA@UMS, hari ini.

Tambah Taufiq, dengan pewartaan tersebut diharap dapat menjadi salah satu titik tolak dalam keterlihatan pengajian perhutanan di UMS secara global.

Sempena sambutan tersebut, lebih daripada 200 pokok yang terdiri daripada spesis Pulai, Selangan Batu, Seraya, Urat Mata dan pokok kapur ditanam di UMS bagi mencapai sasaran sebanyak 200,000 menjelang tahun 2025.

Pada tahun ini juga, UMS menyasarkan setiap kakitangannya menanam dua pokok di sekitar kampus dan tempat bersesuaian termasuk kawasan kolaborasi bersama rakan strategik UMS.

Selain sambutan Hari Hutan Antarabangsa, Taufiq turut menyaksikan pemeteraian surat niat di antara FPT UMS yang diwakili oleh dekan, Profesor Madya Dr. Normah Awang Besar @ Raffie dan Pengarah Forest Solutions Malaysia Sdn. Bhd, Guy Thornton.

LoI tersebut merangkumi hasrat kedua-dua pihak dalam melaksanakan aktiviti perhutanan dengan lebih proaktif pada masa akan datang. 

Dalam pada itu, sebuah buku bertajuk Forestry Camp; Guide and Practical turut dilancarkan dan ia merupakan hasil tulisan para pensyarah FPT iaitu Dr. Affendy Hassan, Profesor Madya Dr. Andy Russel Mojiol, Dr. Walter Lintangan dan Wilter Malandi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.