UMS-STB, Jalankan Penyelidikan Pelancongan Semporna


KOTA KINABALU: Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan kunjungan ke Semporna baru-baru ini bagi merealisasikan kerjasama penyelidikan.

Pensyarah di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) UMS, Rosle Mohidin berkata, penyelidikan merangkumi pengumpulan maklumat profil pelancong dan kajian kemampanan Pulau Mabul sebagai destinasi pilihan pelancong di kawasan Pantai Timur.

“Kajian ini dijalankan melalui geran penyelidikan yang disediakan khas oleh STB kepada UMS.

“Selain berada di Pulau Mabul, kami juga telah mengadakan kunjungan hormat kepada Pejabat Daerah Semporna.

“Disini kami telah diberi taklimat tentang peranan Pejabat Daerah Semporna dalam usaha membangunkan Pulau Mabul sebagai destinasi pelancongan oleh Pegawai Pejabat Daerah, Juraimin Jadil,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Rosle yang juga ketua penyelidik memaklumkan bahawa rombongan UMS dan STB turut melawat satu tarikan pelancongan yang diusahakan dua alumni UMS di Semporna.

“Pusat pelancongan yang dikenali sebagai Twin Hill Park baru sahaja ditubuhkan pada tahun 2019.

“Di bukit ini, pelancong boleh menikmati pemandangan menarik yang terdiri daripada pulau-pulau di sekitar perairan Semporna,” katanya sambil memaklumkan latar belakang kedua-dua pengusaha yang terdiri daripada bekas graduan Program Pengurusan Pelancongan UMS.

Hadir sama, Pengurus Penyelidik Kanan STB, Fenella Edna.

Leave a Reply

Your email address will not be published.