Timbalan menteri kesihatan padam gambar lepas disyaki ingkar SOP


Pada hari pertama perintah kawalan pergerakan (PKP) yang diperbaharui, Timbalan Menteri kesihatan I Noor Azmi Ghazali sekali lagi dirundung kontroversi selepas dia disyaki ingkar prosedur operasi standard (SOP).

Ini setelah Noor Azmi memuat naik beberapa gambar dia menerima tetamu di pejabatnya di Putrajaya pada laman Facebooknya hari ini.

Gambar-gambar itu dimuat naik sekitar jam 1 tengah hari ini tetapi gambar-gambar tersebut telah dikeluarkan dari laman Facebooknya pada sekitar jam 9 malam.

Petikan gambar bertulis: “Kementerian Kesihatan Malaysia. Kunjung hormat sahabat parlimen ke Pejabat Timbalan Menteri Kesiatan 1.”

Bagaimanapun, hantaran gambar yang dipadam itu tidak menyatakan bila pertemuan berkenaan berlangsung.

Satu gambar menunjukkan sekurang-kurangnya 14 orang di pejabatnya dengan kesemuanya memakai pelitup muka.

Malaysiakini telah cuba menghubungi Noor Azmi untuk mendapatkan penjelasannya.

Untuk rekod, Putrajaya serta dua Wilayah Persekutuan lain, Kuala Lumpur dan Labuan, serta lima negeri berada di bawah PKP.

Lima negeri itu ialah Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor dan Sabah.

Menurut SOP,  mesyuarat secara bersemuka di pejabat agensi kerajaan dan swasta dilarang.

Majlis rasmi dan bukan rasmi juga tidak dibenarkan untuk agensi kerajaan dan swasta.

Antara perkara lain yang dilarang buat sementara waktu termasuklah kursus, latihan, konvensyen dan semua aktiviti yang berkaitan dengan Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran (MICE).

Ini bukan kali pertama Noor Azmi dilanda kontroversi kerana melanggar SOP.

Pada April tahun lalu, dia dan exco Perak, Razman Zakaria, dikenakan hukuman denda RM1,000 kerana ingkar PKP di Perak.

Itu selepas dia menyiarkan sejumlah gambar dalam talian mengenai dia dan rombongannya yang mengunjungi sebuah sekolah agama di Lenggong. 

Mereka dilihat makan bersama kira-kira 18 orang lain tanpa mengamalkan langkah penjarakan sosial.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *