Tiga Beradik Mendaki Bukit Untuk Ikuti Sesi PdPR


Oleh SURAIDAH ROSLAN
PAPAR: Mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) di kawasan yang mempunyai rangkaian internet yang baik mungkin mudah bagi pelajar yang berada di bandar.

Namun, bagi tiga beradik dari Kampung (Kg) Gana, mereka terpaksa mendaki bukit sejauh 600 meter di belakang rumah mereka bagi mengikuti sesi PdPR kali ini.

JOSHUA EMMANUEL

Joshua, Jordon dan Joshean terpaksa mendaki bukit untuk mendapatkan rangkaian internet untuk mengikuti sesi PdPR sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Hari pertama persekolahan semalam, Joshua Emmanuel Jeffrey, 12, berkata, mereka tiga beradik memulakan perjalanan mendaki bukit seawal 8.30 pagi untuk mengikuti sesi PdPR. Pendakian itu mengambil masa kira-kira 8-10 minit.

“Kami menghabiskan masa kira-kira tiga jam di atas bukit untuk mengikuti sesi pembelajaran.

“Laluan pendakian tidak juga sukar kerana bukit itu tidak tinggi. Tapi, bila cuaca hujan, keadaan laluan di kebun getah itu sedikit licin. Jadi, kami kena lebih berhati-hati,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Kg Gana yang terletak kira-kira 35km dari Kota Kinabalu.

Joshua bersama dua adiknya, Jordon Emmanuel,9, dan Joshean Emmanuel,8, bersekolah di Sekolah Kebangsaan (C) Anglo Chinese, Kota Kinabalu.

Katanya, beliau merasa gembira berada di kampung biarpun rangkaian internet tidak begitu baik.

ESTHER DUNGIN

Joshua berkata, ayahnya membina kerusi dan meja buluh di atas bukit demi memberi keselesaan kepada mereka tiga beradik.

Ibunya, Esther Dungin, 37, berkata, mereka sekeluarga memutuskan untuk berada di kampung semasa PKP kali ini kerana anak-anaknya tidak mahu pulang ke rumah mereka di Kota Kinabalu.

Walaupun berdepan cabaran mendapatkan rangkaian internet namun, tiga anaknya itu memilih untuk berada di kampung. Anaknya merasa terkurung jika berada di apartmen mereka di Kota Kinabalu.

Esther berkata, memang ada cabaran untuk memantau anak mengikut sesi PdPR kerana komputer riba hanya ada satu dan ketiga-tiga anaknya memerlukan komputer untuk belajar.

Oleh itu, tiga anaknya terpaksa berkongsi komputer untuk belajar Bahasa Cina. Maka, Joshua selaku anak sulung akan menghabiskan kerja sekolahnya terlebih dahulu dan kemudian barulah dua adiknya menggunakan komputer tersebut.

Untuk subjek Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris barulah mereka menggunakan tablet untuk belajar.

JEFFREY JOSEPH

Katanya, disebabkan hujan pagi tadi, suaminya terpaksa memandu keluar ke jalan utama bagi mendapatkan rangkaian internet agar anak-anaknya mengikuti sesi PdPR secara online.

Suaminya, Jeffrey Joseph, 41, yang merupakan Guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Buayan, Penampang berkata, cabaran berada di kampung untuk mengajar anak-anak muridnya melalui online adalah mendapatkan rangkaian internet.

“Disebabkan hanya di atas bukit belakang rumah ini sahaja ada rangkaian internet maka, saya bina meja dan kerusi dari buluh pada Jumaat lepas. Ia bukan hanya untuk anak-anak saya mengikuti sesi PdPR tapi juga untuk saya memberikan kerja sekolah kepada murid saya di SK Buayan,” ujarnya.

Jeffrey berkata, semasa PKP pertama pada Mac 2020, mereka sekeluarga berada di apartmen mereka di Kota Kinabalu jadi, tiada sebarang masalah dengan rangkaian internet.

Tapi sejak hujung tahun lalu, mereka pulang ke kampung kerana anak-anak merasa terkurung apabila berada di bandar.

“Kami berada di kampung sejak hujung tahun lepas semasa kelonggaran diberikan untuk bergerak merentas daerah,” ujarnya.

Jeffrey berkata, mengajar secara online memberi cabaran bukan hanya kepada guru tetapi juga kepada murid yang tinggal di kawasan tiada rangkaian internet.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *