Tiada plasebo dalam vaksin Covid-19 PICK


Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini menegaskan bahawa tiada plasebo digunakan dalam vaksin Covid-19 bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), seperti didakwa dalam satu video yang tular di media sosial.

Dalam satu kenyataan kementerian itu berkata penggunaan plasebo adalah satu keperluan dalam kajian klinikal, yakni ia merupakan intervensi yang tidak mengandungi komponen aktif yang dapat merawat atau mencegah sesuatu penyakit.

Menurut KKM, dalam sesuatu kajian klinikal kumpulan penerima akan dibahagi secara rawak iaitu satu kumpulan menerima bahan aktif dan satu lagi kumpulan menerima plasebo.

“Situasi ini hanya digunakan semasa kajian klinikal dan bukan dalam produk berdaftar yang digunakan dalam PICK,” menurut KKM.

KKM menegaskan semua produk farmaseutikal termasuk vaksin yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dihasilkan melalui pengilang yang mematuhi standard antarabangsa seperti Amalan Perkilangan Baik (GMP), Skim kerjasama pemeriksaan farmaseutikal (PIC/S) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Pemantauan kualiti produk dilakukan sepanjang proses pengilangan, iaitu ujian kawalan kualiti akan dijalankan pada setiap kelompok sebelum dipasarkan dan bagi produk berdaftar, ia hanya mengandungi bahan aktif dan eksipien yang telah diperakukan oleh PBKD untuk dipasarkan dan bukan sejenis plasebo,” kata KKM.

KKM berkata Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) juga menilai dokumen pengilangan dan melakukan pemeriksaan rangkaian sejuk bagi setiap kelompok produk vaksin Covid-19 melalui proses ‘Lot Release’ dengan ketat bagi memastikan kandungan dan kualiti produk vaksin adalah terjamin.

Berhubung kandungan video berkenaan, KKM mempersoalkan bagaimana pihak dalam video itu memperoleh sampel vaksin Covid-19 dan menjalankan ujian kandungan vaksin, sedangkan penjualan dan pembekalan vaksin Covid-19 hanya dibenarkan kepada kerajaan dan pihak yang dibenarkan kerajaan sahaja.

KKM turut menganggap dakwaan dalam video berkenaan sebagai berita palsu dan satu usaha untuk menimbulkan kekeliruan kepada orang awam serta mencemarkan integriti kementerian itu.

KKM akan membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan selanjutnya, menurut kenyataan itu.

– Bernama



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.