Tiada pelajar Sabah yang ambil SPM di Pusat Kuarantin atau Hospital.


Jabatan Pendidikan  Negeri Sabah mengesahkan tiada pelajar yang terpaksa menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di pusat kuarantin atau hospital.

Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Dr Mistirine Radin berkata, mengikut rekod seramai 36,432 calon akan menduduki SPM di seluruh negeri Sabah bermula hari ini.

Katanya, jumlah itu membabitkan seramai 33,453 pelajar sekolah kerajaan, 1,297 pelajar sekolah swasta dan 1,682 calon persendirian.

“Selain itu, mengikut rekod, seramai 738 pelajar di Sabah pula menduduki Sijil Vokasional Malaysia (SVM).

“Bagaimanapun, setakat ini, Jabatan Pendidikan Sabah tidak menerima maklumat mengenai calon yang mengambil peperiksaan ini di pusat kuarantin atau hospital,” katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah (SM) La Salle, di sini, hari ini.

Kunjungan yang turut disertai Pengetua SM La Salle, Mary Macdalena Komuji diadakan bagi meninjau hari pertama peperiksaan SPM 2020 yang berlangsung hingga 25 Mac depan.

Sementara itu, Mistrine menasihati semua pelajar dan petugas peperiksaan SPM supaya sentiasa menjaga kesihatan selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Katanya, semua kelas yang digunakan juga akan sentiasa disanitasi selepas peperiksaan dijalankan.

“Ini sebagai salah satu usaha menghalang penularan wabak Covid-19 dalam kalangan calon serta petugas sepanjang SPM berlangsung,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan media mendapati, pergerakan keluar masuk pintu utama sekolah berkenaan dikawal ketat oleh pengawal keselamatan dan pentadbiran sekolah.

Ia bagi memastikan perjalanan proses peperiksaan dan calon yang menduduki peperiksaan SPM terbabit tidak terganggu.

Para pengamal media juga dilarang memasuki perkarangan sekolah dan hanya dibenarkan membuat tinjauan dari luar pagar saja.

Untuk rekod, terdapat 314 pusat peperiksaan SPM selain 5,305 petugas manakala tujuh pusat peperiksaan SVM membabitkan

88 pemeriksa di seluruh negeri ini. – Asia Times

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *