Thailand lulus pelan tarik 1 juta hartawan warga asing


Oleh Linda Khoo Hui Li

BANGKOK, 14 Sept — Thailand hari ini meluluskan beberapa langkah termasuk melonggarkan dasar imigresen dan menawarkan faedah cukai bertujuan menarik satu juta rakyat asing yang ‘high potential’ dalam tempoh lima tahun.

Jurucakap kerajaan, Thanakorn Wangboonkongchana, berkata Kabinet hari ini secara dasarnya meluluskan langkah untuk menarik warga asing termasuk mereka yang kaya-raya, pesara, pekerja jarak jauh dan profesional berkemahiran tinggi untuk tinggal lebih lama di Thailand.

“Kerajaan menjangkakan kumpulan ini menghasilkan 1 trilion baht dari 2022 hingga 2026. Ia juga menyediakan pelaburan 800 bilion baht dan 270 bilion baht dalam pungutan cukai,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Thanakorn berkata visa jangka panjang akan ditawarkan kepada rakyat asing ‘high potential’  dan dikecualikan daripada perlu membuat laporan kepada pihak berkuasa imigresen setiap 90 hari.

Langkah-langkah lain termasuk semakan peruntukan yang membolehkan orang asing memiliki hartanah, dibenarkan bekerja untuk majikan dari dalam dan luar negera serta menikmati pengecualian cukai dan kastam, katanya.

“Kabinet juga meluluskan cadangan Pejabat Majlis Pembangunan Ekonomi dan Sosial Negara (NESDC) untuk menilai pelan itu setiap lima tahun. Manfaat cukai dan hak milik tanah akan berakhir selepas lima tahun,” katanya.

Sementara itu, Kabinet juga meluluskan 946 juta baht untuk Persatuan Palang Merah Thailand membeli satu juta dos vaksin COVID-19 Moderna.

Timbalan jurucakap kerajaan, Traisulee Traisaranakul berkata, vaksin itu akan diberikan kepada kumpulan berisiko tinggi dan golongan rentan secara percuma.

Bangkok Post melaporkan bahawa Zuellig Pharma, pengedar sah Moderna di Thailand, mengenakan bayaran 940 baht (RM127) bagi setiap dos vaksin berkenaan. Dengan kos pengangkutan 26.75 baht (RM3.60) bagi setiap dos, harga setiap dos vaksin adalah 966.75 baht (RM130.60).

— BERNAMA

 



Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *