Tentera darat terima enam helikopter MD530G


PETALING JAYA, 28 Feb — Tentera Darat hari ini menerima enam helikopter peninjau/penyerang ringan MD530G bagi meningkatkan kesiagaan dan keupayaan pasukan itu.

Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata kesemua helikopter itu bakal dilengkapi senjata jenis Gatling Gun 7.62 milimeter (mm), Heavy Machine Gun 12.7mm dan pelancar roket 70mm.

Katanya dengan senjata itu, helikopter berkenaan mampu menggempur kenderaan perisai ringan dan pasukan musuh pada jarak 500 meter hingga tujuh kilometer, selain mempunyai ketangkasan melaksanakan tugas tinjauan udara.

“Tiga helikopter itu akan ditempatkan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), manakala bakinya akan ditempatkan di Kluang, Johor.

“Sebelum dibenarkan beroperasi, helikopter ini perlu melalui beberapa pemeriksaan seperti oleh Directorate General Technical Airworthiness dan pemeriksaan akhir oleh Tentera Darat melalui pasukan Final Acceptance Test (FAT),” katanya pada sidang media majlis penerimaan helikopter itu di sini, hari ini.

Beliau berkata setelah pasukan FAT mengesahkan enam helikopter itu lulus pemeriksaan akhir, Sijil Pemeriksaan Akhir akan dikeluarkan dan ditandatangani oleh wakil syarikat bersama pasukan FAT.

“Ini menandakan enam helikopter itu menjadi hak milik Tentera Darat secara rasmi dan dijangka memulakan operasi pada Oktober nanti,” katanya.

Helikopter MD530G yang dibekalkan oleh Syarikat Halaman Optima Sdn Bhd melalui Syarikat Destini Prima Sdn Bhd itu, merupakan buatan MD Helicopter Inc (MDHI) yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Ia tiba di Pelabuhan Klang pada 21 Feb lepas dari Pelabuhan Oakland, Amerika Syarikat.

Selain helikopter, kontrak perolehan itu turut merangkumi program latihan kepada lapan juruterbang dan sembilan juruteknik Pasukan Udara Tentera Darat.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai keraguan sesetengah pihak terhadap keupayaaan helikopter berkenaan, Zamrose berkata aset tersebut berpadanan dengan fungsi dan keadaan muka bumi di kawasan ia akan beroperasi.

Menurutnya tugas utama helikopter itu adalah untuk membuat tinjauan dan hanya menyerang sekiranya diancam musuh.

— BERNAMA

 

 

 


 



Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

Leave a Reply

Your email address will not be published.