Takaful Malaysia catat PAZT RM103.8 juta


Kuala Lumpur: Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) mencatat keuntungan sebelum cukai dan zakat (PBZT) pada suku keempat berakhir 31 Disember 2020 sebanyak RM117.2 juta, 37 peratus lebih tinggi berbanding RM85.6 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun sebelumnya.

Sementara keuntungan selepas cukai dan zakat (PAZT) adalah RM103.8 juta, meningkat 34 peratus berbanding RM77.6 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun sebelumnya.

Kumpulan melaporkan keuntungan bersih selepas cukai setahun penuh sebanyak RM363.6 juta dengan catatan keputusan hampir sama pada tahun 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Mohamed Hassan Kamil berkata, Kumpulan beroperasi dalam persekitaran pasaran yang mencabar, di kala ketidaktentuan dan kelembapan ekonomi akibat pandemik Covid-19, serta melalui proses penyesuaian dan adaptasi norma baharu untuk mengekalkan operasi perniagaan serta melindungi kesihatan dan keselamatan pihak berkepentingan.

“Kami merekodkan peningkatan 2.0 peratus PBZT kepada RM426.8 juta berbanding RM417.7 juta pada tahun kewangan sebelumnya hasil penjualan lebih tinggi yang didaftarkan dari portal penjualan dalam talian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pandemik Covid-19 yang belum pernah terjadi sebelum ini telah mendominasi ekonomi dan menimbulkan pelbagai cabaran dari isu kesinambungan perniagaan hingga pertimbangan perkhidmatan pelanggan serta prospek kewangan.

“Pendapatan operasi juga mencatatkan penurunan disebabkan oleh penjualan yang rendah dari perniagaan Takaful Keluarga tetapi Perniagaan Takaful Am kami mencatatkan pertumbuhan 7.0 peratus berbanding pada 2019.

“Namun, sebagai perintis pengedaran dalam talian dan teknologi digital baharu, rangkaian pelan perlindungan dalam talian inovatif yang ditawarkan melalui Portal Jualan Dalam Talian Click for Cover telah memperoleh jumlah penjualan yang tinggi, sekaligus membuktikan kejayaan perjalanan digitalisasi kami,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *