Saudara-saudari sekalian dalam Kritus yang dikasihi,
Sejak Selasa lalu, saya terima begitu banyak pesanan dorongan, penghargaan dan sanjungan serta doa untuk kami daripada saudara-saudari yang saya kenal dan juga tak kenal atas kenyataan bersama oleh 53 orang Ahli Parlimen, Senator dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah dan Sarawak yang menyeru kepada Kerajaan Perseketuan untuk menerima keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 Mac 2021 bahawa semua rakyat Malaysia berhak untuk berdoa kepada Allah.
Saya merasa rendah diri dilimpahi dengan kasih sayang dan terpanggil untuk menulis surat ini kepada semua yang mendoakan kejayaan perjuangan ini.
Pertama, kejayaan kenyataan bersama itu adalah kurnia Allah dan segala-gala pujian harus ditujukan kepadaNya. Saya melihat diri saya hanya sebagai alat kerdil untuk melaksanakan kehendakNya. Bila saya menghubungi Dato’ Sri Richard Riot Jaem (Ahli Parlimen Serian) pada petang Ahad yang lepas, saya tidak sangka kenyataan itu yang bermula dengan kami berdua akan akhir dengan 53 orang wakil rakyat daripada 1 1 buah parti dan kumpulan di Sabah dan Sarawak, dan termasuk Timbalan Menteri Persekutuan Datuk Willie Mongin (Ahli Parlimen Puncak Borneo).
Kerana tiada wujudnya satu kumpulan Whatsapp pun yang merangkumi kesemua 222 orang wakil rakyat Sabah dan Sarawak yang sedia ada, kejayaan untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 53 orang wakil rakyat dalam masa tiga hari tidak mungkin terjadi tanpa berkatNya dan juga bantuan daripada rakan-rakan, antaranya YB Baru Bian (MP Selangau) dan YB Christopher Gira (ADLIN Tamin).
Kedua, kita semua perlu fahami perjuangan kita ialah mengangkat Malaysia, bukan untuk mengangkat umat Kristian lebih tinggi daripada umat lain. Kita ingin mengangkat semua rakyat Sabah dan Sarawak dalam Malaysia supaya menikmati kebebasan dan kebahagian yang dijanjikan kepada kita pada 1963, dan mengangkat Malaysia sebagai sebuah negara yang boleh menandingi Indonesia dalam keterangkuman dan harmoni agama. Harus ingat, bukan kesemua 53 orang wakil rakyat itu orang Kristian juga. Mereka menyokong kerana perjuangan untuk Sabah dan Sarawak, untuk Malaysia.
Ramai saudara Muslim kita di Malaya khuatirkan bahawa jika Kristian dibenarkan untuk berdoa kepada Allah, maka Kristian akan menggunakan perkataan Allah untuk mengkaburkan perbezaan keimanan atau teologi antara Kristian dan Islam untuk memurtadkan Muslim. Mereka tidak faham bahawa kita, tidak berniat untuk melakukan yang sama ke atas saudara Muslim kita.
Sebenarnya, tak kira umat İslam, umat Kristian atau umat-umat lain, orang Sabah dan Sarawak tidak berperangai seperti pendakwah agresif seperti Zakir Naik.
Turun-temurun, kita hidup dengan saudara-mara, jiran-tetanga dan sahabat handai yang berlainan akidah dengan aman dan tenteram. Orang Sabah dan Sarawak benar-benar percayai bahawa umat manusia dicipta berlainan supaya kita dapat mengenali dan menyayangi sesama lain, bahawa Allah menentukan siapa yang akan menerima hidayah daripada ajaran mana kerana sesungguhnya Allah boleh menjadikan kita semua satu agama satu mazhab jika itu kehendakNya.
Wahai, saudara-saudariku dalam Kritus sekalian, mari kita menghadapi dugaan kita dengan penuh kasih sayang, sepertimana ajaran Yesus Kristus kepada kita, dan bukan membalas kepedihan dengan kepedihan. Saya masih ingat kepedihan hati saya bila saya sebagai setiausaha Sabah Barisan Nasional Backbenchers Club memohon bantuan Menteri-menteri untuk melepaskan buku nyanyian pujian (hymn books) bertajuk “Kidung Allah” mikan True Jesus Church dan diberi jawapan dingin oleh pegawai kementerian “itu isu sensitif’. Episod itu membuka mata saya bahawa sistem ini mesti ditukar dan ditambah baik bila datangnya peluang.
Daripada berasa dendam, kita harus memahami kegelisahan saudara Muslim Malaya kita adalah kerana kejutan budaya yang sebahagiannya kerana faktor sejarah. Di Tanah Arab dan hampir seluruh alam Nusantara, umat Muslim dan umat Kristian menggunakan bahasa yang sama, iaitu bahasa Arab dan bahasa Melayu/lndonesia, dan Yang Maha Esa dalam kedua-dua bahasa itu Allah. Pengalaman sejarah di Malaya lain sekali kerana umat Muslim menggunakan bahasa Melayu manakala umat Kristian kecuali orang Asli menggunakan bahasa Inggeris, Cina, Tamil dan sebagainya tetapi tidak bahasa Melayu. Kerana kebanyakan saudara Muslim Malaya tidak berjelajah ke Sabah, Sarawak, provinsi-provinsi Indonesia yang banyak umat Kristian, dan negara-negara Arab yang mempunyai minoriti Kristian, mereka tidak şedar kelainan Malaya daripada semua negara dan wilayah yang kedua-dua umat Muslim dan Kristian menggunakan bahasa yang sama.
Kejutan budaya itu melanda umat Muslim Malaya pada tahun-tahun 1980an apabila gereja-gereja di Malaya mula mengadakan misa (masses) dalam Bahasa Malaysia. Ini disebabkan dua perkembangan. Pertama, Dasar Bahasa Kebangasan yang giat dilaksanakan di Sabah dan Sarawak sejak 1977 begitu berjaya sampai kebanyakan generasi muda Kristian menggunakan bahasa Malaysia dan bukan bahasa Inggeris dalam gereja. Kedua, semakin ramai orang Sabah dan Sarawak berhijrah ke Semenanjung untuk bekerja atau belajar, setimpal dengan penubuhan universiti-universiti baru di Malaya.
Maka, perjuangan kita ialah membina sebuah negara Malaysia yang yakin dan harmoni, supaya kejutan budaya umat Islam dapat diatasi dan umat Kristian bebas berdoa kepada Allah.
Ketiga, perjuangan kita perlu dimenangi dalam arena pendapat awam, dan bukan sahaja kamar mahkamah. Konfrontasi merugikan kita. Kesenyapan juga akan merugikan kita.
Jika kejutan budaya saudara Muslim Malaya yang telah berterusan selama 35 tahun kita tidak dapat diatasi, kemenangan saudari Jill Ireland di Mahkamah akan dirayu sekali dan sekali sampai diterbalikkan. Jangan kita lupa bagaimana kemenangan gereja Katolik dalam kes Akhbar Mingguan Herald telah diterbalikkan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Perseketuan kerana tekanan politik tidak dapat dineutralkan.
Sebaliknya, jika kita dapat memenangi hati saudara Muslim Malaya kita, insya Allah dengan bantuan saudara Muslim Borneo kita, maka kemenangan di Mahkamah akhirnya akan terjamin.
Perjuangan ini cukup besar tetapi langsung tidak mustahil. Umat Muslim dan Umat Kristian boleh berkongsi kalimah Allah dan istilah-istilah agama yang lain di Dunia Arab dan Indonesia dan hidup dengan harmoni. Tiada sebab kenapa ini tidak boleh berlaku juga di Malaya. Kejutan budaya akan berakhir jika kita menghadapinya dengan kebijaksanaan, keberanian dan kasih sayang.
Sebenarnya saya percaya perubahan sudahpun mula berlaku dalam umat Muslim. Jangan kita rasa hampa kerana tiada seorang Muslim dalam 53 orang wakil rakyat kita. Mantan Menteri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal telah menyatakan jelas bahawa penggunaan perkataan Allah tidak harus dikhususkan kepada umat Muslim sahaja. https://wm.thevibes.com/articles/news/20760/let-others-use-the-word-allah-says-shafie-aftergovt-appeals-court-decision Saya yakin ada pemimpin-pemimpin Muslim Borneo yang lain yang sedang berusaha dengan cara sendiri untuk memujuk Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menerima keputusan Mahkamah Tinggi.
Malah di Malaya juga kita mendengar pandangan yang ke arah pendamaian (reconciliation) daripada Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang pada 12 Mac 2021 bahawa tiada larangan pada dasar tetapi cuma ada sempadan dalam penggunaan perkataan Allah. https://wm.facebook.com/abdulhadiawana/posts/3770428709708886 Insya Allah, kenyataan berani sebegini membantu untuk menghilangkan kegelisahan dan ketakutan yang timbul daripada kejutan budaya.
Saya memohon kepada saudara-saudari untuk mendoakan berkat daripada Allah supaya seluruh umat Malaysia diberi kebijaksanaan, keberanian dan kasih sayang dalam perkataan dan perbuatan kita, sampai tiada di antara kita yang takut dan gelisah kerana bahasa yang sama digunakan untuk berdoa kepada Allah di rumah sembahyang yang berlainan, sampailah semua pemimpin negara berani menegakkan keputusan yang baik untuk semua umat. Terberkatilah. Sekian. Terima kasih.