Skuad Sang Kancil lebih bersemangat buru kemenangan


MELAKA, 5 Ogos (Bernama) — Kemenangan pertama yang diraih Melaka United selepas menundukkan PDRM FA 3-1 pada aksi Piala Malaysia, akan dijadikan suntikan semangat kepada setiap pemainnya, bagi memburu lebih banyak mata dalam perlawanan peringkat kumpulan D.

Ketua Jurulatih skuad Sang Kancil, Zainal Abidin Hassan berkata biarpun ketinggalan di awal permainan, namun anak-anak buahnya berjaya bangkit dan menyaingi lawan, dengan mempamerkan permainan bermutu.

Katanya tiga mata yang dikutip dalam perlawanan sulung itu, adalah permulaan dan berharap aksi berkualiti oleh barisan pemainnya akan berterusan ketika bertemu Selangor pada Khamis ini, yang merupakan antara pencabar utama dalam kumpulan.

“Dalam tempoh tiga empat hari ini, kita ada masa untuk mengubah corak dan percaturan pasukan kerana kehilangan penyerang utama Davy Angan, yang mengalami kecederaan dan akan memantau keadaannya.

“Apa yang penting bertemu dengan Selangor ialah setiap pemain perlu lebih berdisplin dan mempertingkatkan prestasi dalam tempoh yang ada ketika latihan selain menyesuaikan diri dengan perancangan diterapkan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu di sini malam tadi.

Zainal Abidin berkata dalam aksi bertemu Selangor itu nanti beliau mahu pemainnya mengambil kesempatan menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri, selain tidak mahu mengulangi kesilapan sama ketika pertemuan di Liga Super mengalami kekalahan di saat akhir.

Sementara itu, pengendali PDRM E. Elavarasan berkata kekalahan dihadapi itu bukan penamat, tetapi berharap skuadnya kembali bangkit dalam aksi bertemu Felda United pada Rabu ini, walaupun melihat lawan itu berada dalam motivasi lebih baik selepas berjaya mengikat Selangor.

“Kita ada baki lima lagi perlawanan dan kita akan lihat bagaimana perjalanan pasukan ini, selepas aksi kedua dan ketiga, setiap pasukan yang berentap di peringkat kumpulan ini masih berpeluang.

“Apapun kita ucapkan tahniah kepada Melaka kerana menang, pada separuh masa pertama para pemain kami masih boleh mengekalkan jaringan penyamaan, namun selepas jaringan kedua dan ketiga keyakinan lawan dilihat lebih tinggi,” katanya.

Terdahulu, dalam perlawanan di Stadium Hang Jebat itu, PDRM terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah menerusi jaringan Lee Chang Hoon pada minit kelapan, sebelum tiga minit kemudian Nazrin Nawi menyamakan kedudukan 1-1 melalui sepakan percuma.

Bersambung babak kedua, Melaka United terus menambah tekanan pelawat apabila pemain import Filipina, Patrick Reichelt menjaringkan gol di minit ke-54 dan seterusnya, melebarkan kedudukan sekali lagi menerusi gol Nazrin pada minit ke-61, untuk mengutip tiga mata dan berada di kedudukan teratas kumpulan D.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *