Shafie Mohon Jelaskan Penjualan 2 juta Hektar Tanah
KOTA KINABALU: Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) memohon kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memberi penjelasan mengenai ‘penjualan’ 2 juta hektar tanah yang dijual kepada syarikat asing bagi tujuan ‘carbon credit’. Presiden Parti Warisan itu berkata, kerajaan negeri harus lebih telus dalam mendedahkan tentang ‘penjualan’ tanah kepada sebuah syarikat…
KOTA KINABALU: Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) memohon kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memberi penjelasan mengenai ‘penjualan’ 2 juta hektar tanah yang dijual kepada syarikat asing bagi tujuan ‘carbon credit’.
Presiden Parti Warisan itu berkata, kerajaan negeri harus lebih telus dalam mendedahkan tentang ‘penjualan’ tanah kepada sebuah syarikat dari Australia, Hoch Standard PTE Ltd bagi tujuan konservasi alam semulajadi.
Beliau mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang menandatangani perjanjian bagi penjualan tanah itu tanpa diperhalusi di peringkat Kabinet Negeri.
“Tanah di bawah pengurusan dan bidang kuasa negeri tapi, kita tidak dengar perkara ini diperhalusi mahupun dibentang dalam Kabinet Negeri.
Beliau berkata, banyak langkah lain yang boleh diambil bagi mengatasi pengeluaran karbon di negara ini seperti yang dilakukan Amerika Syarikat yang beralih kepada teknologi hijau melalui penggunaan kereta elektrik.
Difahamkan berdasarkan perjanjian ditandatangani, 32 peratus pengurusan tanah diberikan kepada syarikat berkenaan.
Malah, Peguam Besar Negeri turut berbeza pandangan dengan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Jeffrey Kitingan mengenai perjanjian yang dikatakan demi pemeliharaan alam semulajadi.
Seperti diketahui negara-negara membangun seperti Amerika Syarikat, China, Singapura juga tidak mengasingkan tanah untuk mengatasi pengeluaran karbon dengan menandatangani carbon credit.
Tapi, Sabah mengambil keputusan menandatangani perjanjian untuk mengasingkan tanah bagi tujuan tersebut.
“Ini menjadi kebimbangan saya kerana perjanjian sudah ditandatangani dan saya harap ia dibatalkan.
“Bukan saya tidak setuju dengan pendekatan carbon credit namun, tidak perlu kita menjual tanah kita bagi tempoh perjanjian 100 tahun,” katanya semasa sesi perbahasan sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Tambahnya, semasa Warisan memerintah, orang kampung diberikan tanah untuk bercucuk tanam. Tapi, kerajaan sekarang mahu memberikan berjuta ekar tanah kepada pihak luar.
Mohd Shafie berkata, apa yang membimbangkan adalah perkara itu tidak dibentangkan dalam sidang DUN dan ini jelas menunjukkan tiada ketelusan dalam kerajaan yang memerintah Sabah hari ini.
Beliau turut mempertikai tindakan kerajaan memberikan tanah seluas 250,000 hektar milik Sabah Forest Industries Sdn Bhd (SFI) kepada tiga kumpulan.
Katanya, kenapa kerajaan negeri perlu membayar pampasan kepada syarikat-syarikat berkenaan. Penjelasan harus diberikan kerana pengurusan tanah SFI itu seharusnya milik negeri.