Shafie Apdal Menghadap Agong 3 Petang Tadi


KUALA LUMPUR: Selepas hampir satu jam menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal dilihat meninggalkan Istana Negara pada 4.20 petang tadi.

Kenderaan Range Rover berwarna hitam yang membawa Ahli Parlimen Semporna itu dilihat keluar dari pekarangan Istana Negara melalui Pintu 2.

Mohd Shafie adalah pemimpin parti politik keempat yang menghadap Agong pada hari ini dan kenderaan beliau tiba di pekarangan Istana Negara pada 3 petang tadi.

Tiga pemimpin lain yang turut menghadap Agong hari ini adalah Presiden Pas, Ibrahim Tuan Man, Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Seong dan Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Perjuang) Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Kehadiran pemimpin-pemimpin politik ke Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong bermula semalam sehingga 11 Jun.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendahului semua pemimpin politik untuk menghadap Agong dan diikuti dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng serta Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.

Selepas pertemuan dengan pemimpin-pemimpin politik itu, sesi perbincangan khas Raja-Raja Melayu akan turut diadakan pada 16 Jun ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *