Sepak takraw: Menang ke atas Kemboja, peluang cerah raih perak


Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

HANOI, 14 Mei (Bernama) — Selepas tumpas kepada musuh tradisi Thailand, skuad sepak takraw lelaki kebangsaan bangkit mencipta kejayaan apabila menewaskan Kemboja 3-0 pada aksi kedua liga sepusingan acara regu berpasukan Sukan SEA ke-31 di Pusat Sukan Hoang Mai di sini, hari ini.

Seperti dijangka, skuad bimbingan Abdul Talib Ahmad tidak berdepan masalah untuk mengetepikan cabaran Kemboja.

Regu pertama dibarisi Muhammad Zarif Merican Ibrahim Merican, Muhammad Afifuddin Razali dan Aidil Aiman Azwawi menyumbangkan mata sulung dengan keputusan 21-6, 21-10.

Rentak kemenangan diteruskan Muhammad Faisal Fuad, Muhammad Noraizat Nordin dan Norfaizzul Abd Razak yang meraih mata kedua selepas mengatasi Chanthea Di, Hapchhun Nom dan Sovoutha Houth 21-2, 21-6.

Mata kemenangan Malaysia hadir menerusi regu ketiga Muhammad Haziq Hairul Nizam, Muhammad Asyraf Abdul Hadi dan Muhammad Eqbal Shamsudin dengan keputusan 21-5, 21-9, sekali gus mencerahkan peluang pasukan negara untuk meraih pingat perak.

Abdul Talib berkata kemenangan tersebut adalah motivasi terbaik buat anak buahnya yang bakal bertemu pasukan tuan rumah pada aksi terakhir esok.

Kemenangan ke atas Vietnam akan memastikan pingat perak menjadi milik Malaysia memandangkan Thailand diramal melakar kemenangan mudah ke atas Kemboja pada satu lagi pertandingan esok.

“Pada aksi hari ini saya ingatkan pemain mereka perlu cari momentum permainan, apa kelemahan semalam (bertemu Thailand) perlu diperbaiki terutama dari segi serangan.

“Untuk bertemu Vietnam, apa yang saya tengok kali ini ketiga-tiga regu mereka juga agak baik tetapi pemain negara perlu memastikan tahap mental mereka kena lagi tinggi dari Vietnam (bagi meraih kemenangan),” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini.

Semalam, Malaysia membuka kempen saingan liga sepusingan dengan langkah kiri selepas tumpas 0-3 kepada Thailand di venue sama.

Dalam pada itu, Thailand yang merupakan juara bertahan mudah menjinakkan Vietnam 3-0.

— BERNAMA



Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

Leave a Reply

Your email address will not be published.