Semakan kenaikan gaji minimum akan jejas pemulihan ekonomi, RMK12


Majikan tidak mampu untuk menyerap sebarang kenaikan kos upah dan semakan kenaikan gaji minimum yang akan menjejaskan pemulihan ekonomi dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), menurut Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).

Presidennya, Syed Hussain Syed Husman berkata situasi Covid-19 telah menyebabkan penurunan prestasi semua sektor ekonomi dengan ketara yang mengakibatkan ekonomi Malaysia menguncup 5.0 peratus pada 2020.

“Lebih 32,500 syarikat telah menghentikan operasi dengan lebih 107,000 pekerja kehilangan pekerjaan berikutan sekatan pergerakan yang dikuatkuasakan oleh kerajaan untuk memutuskan rantaian jangkitan pada 2020 dan 2021.

“Ini menyebabkan kadar pengangguran yang lebih tinggi apabila Ogos 2021 mencatatkan empat peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini sebagai respons kepada cadangan untuk mengkaji semula gaji minimum sedia ada.

Beliau berkongsi bahawa sebelum pandemik, Malaysia mencatatkan guna tenaga penuh berikutan kadar pengangguran di bawah 4.0 peratus.

Lebih membimbangkan ialah kadar pengangguran mereka yang berumur antara 15 dan 24 tahun kini sebanyak 12 peratus, katanya.

Syed Hussain berkata berdasarkan pelbagai langkah pengurangan kos yang dilaksanakan oleh majikan, gaji median merosot kepada RM1,988 berbanding RM2,442 pada 2019 manakala purata gaji berkurangan kepada RM2,933 pada 2020 berbanding RM3,224 pada 2019, penurunan sebanyak sembilan peratus.

Katanya produktiviti buruh turut mencatatkan negatif 16 peratus pada 2020 berikutan pengurangan jumlah tenaga kerja yang menurunkan nilai tambah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2020.

Beliau berkata sepanjang 2020 dan 2021, kerajaan telah menyediakan sejumlah RM18 bilion dalam bentuk subsidi gaji yang memberi manfaat kepada lebih 300,000 majikan dan 2.4 juta pekerja tetapi walaupun terdapat pelbagai pakej rangsangan, ramai majikan terus menghadapi cabaran untuk kekal mampan.

“Lebih banyak lagi diperlukan dan kami perlu melakukan yang termampu untuk menyokong perniagaan sedia ada dalam tempoh amat kritikal ini. Keutamaan kami ialah perlu menyediakan lebih banyak dana untuk perniagaan yang terpaksa ditutup supaya kami dapat mewujudkan pekerjaan untuk semua mereka yang kehilangan pekerjaan semasa sekatan pergerakan.

“Kami memerlukan sekurang-kurangnya dua tahun untuk perniagaan dan pekerjaan kembali normal,” katanya.

Justeru, beliau berpendapat senario ekonomi semasa yang suram tidak membolehkan sebarang semakan kenaikan terhadap gaji minimum sedia ada terutamanya apabila lebih 98 peratus daripada semua syarikat berdaftar adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perusahaan mikro.

Beliau menegaskan bahawa majikan sektor swasta terutamanya PKS dan perusahaan mikro amat memerlukan lebih banyak sokongan daripada kerajaan untuk membolehkan mereka mengekalkan pekerja sedia ada, sekali gus membantu menstabilkan pasaran buruh dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti dalam tempoh jangka panjang.

“Daripada menaikkan gaji minimum, kami berpendapat usaha perlu dilakukan untuk segera mengawal kos produk dan perkhidmatan yang meningkat.

“Tiada jumlah kenaikan gaji yang dapat menampung kenaikan kos sara hidup jika tiada langkah berkesan dilaksanakan untuk menyelesaikan isu kenaikan kos sara hidup,” katanya.

Syed Hussain turut berpandangan bahawa sebahagian besar perniagaan yang masih beroperasi tidak menikmati margin yang sama seperti sebelumnya dan hanya antara 10 dan 15 peratus bagi kebanyakan PKS, yang tidak mencukupi untuk menampung kos overhed.

“Menambah kos perniagaan pada masa ini adalah tidak bijak. Langkah yang lebih baik ialah mengkaji langkah-langkah untuk mengawal kos sara hidup yang secara langsung akan membantu pekerja yang mempunyai pendapatan. Aset majikan yang paling berharga adalah pekerja mereka dan tiada majikan yang mahu melihat pekerja mereka menghadapi kesukaran.

“Produktiviti dan prestasi juga akan bertambah baik apabila semua pihak berasa gembira dan selamat. Majikan akan melakukan yang terbaik untuk memastikan pekerja mereka mempunyai pekerjaan dan persekitaran kerja yang selamat.

“Apa yang paling penting pada masa ini ialah kita perlu mengambil pendekatan yang seimbang dan realistik apabila berkaitan isu gaji,” katanya.

Bernama



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.