Satu lagi penantian panjang untuk penerjun negara ?


Oleh Amiril Muttaqien Meketar

KUALA LUMPUR, 13 Okt  — Nampaknya penerjun negara terpaksa menghadapi penantian yang panjang sebelum kembali melakukan terjunan di kolam renang untuk pertandingan.

Ini adalah kerana Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) belum lagi mengeluarkan sebarang jadual pertandingan untuk kalendar tahun hadapan.  

Kali terakhir kem penerjun negara beraksi dalam pertandingan ialah di Sukan Olimpik Tokyo, Jepun yang berlangsung dari  23 Julai hingga 8 Ogos lepas.

Bagaimanapun, hanya Pandelela Rinong,  Cheong Jun Hoong, Nur Dhabitah Sabri, Leong Mun Yee dan  Wendy Ng Yan Yee layak ke temasya sukan terbesar dunia itu sementara penerjun yang lain hanya bersorak memberi sokongan kepada rakan sepasukan beribu batu jauhnya dari Malaysia. 

Justeru, Malaysia Swimming (MS) merancang untuk menganjurkan pertandingan terjun kebangsaan di Pusat Akuatik Nasional di Bukit Jalil di sini awal tahun hadapan dalam usaha untuk memberi peluang kepada mereka kembali beraksi.

Setiausaha Agung MS Mae Chen berkata acara itu yang berkemungkinan dianjurkan dalam Februari atau Mac juga menjadi sebuah platform untuk penerjun menyiapkan diri mereka untuk tiga acara sukan besar tahun depan, iaitu Sukan SEA di Hanoi, Vietnam; Sukan Komanwel di Birmingham, United Kingdom dan Sukan Asia di Hangzhou, China.

“Kami berharap untuk mendapat lampu hijau daripada Kementerian Belia dan Sukan bagi menganjurkan pertandingan kebangsaan dalam bulan Februari atau Mac, bergantung kepada keadaan COVID-19 di sini. Saya berharap semuanya berjalan lancar,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.  

Mae juga berharap untuk menghantar jemputan ke negara lain seperti Singapura, Jepun dan Korea Selatan sekiranya pihak berkuasa melonggarkan prosedur operasi standard termasuk proses kuarantin untuk warga asing memasuki negara. 

Memandangkan tiada pertandingan untuk mereka sertai sehingga tahun depan, Mae berkata semua penerjun masih lagi berlatih seperti biasa di Bukit Jalil. 

Sementara itu, Mae memaklumkan mereka masih menunggu pengesahan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mendapatkan seorang pembantu jurulatih baharu dari China bermula tahun depan. 

“Kami berharap untuk mendapatkan beliau (pembantu jurulatih) dalam Januari, hanya menunggu kelulusan daripada MSN kerana mereka masih perlu menunggu peruntukan yang akan diumumkan dalam Belanjawan 2022 penghujung bulan ini,”katanya.

Beliau berkata bekas jurulatih  Brazil dan Indonesia akan membantu Jurulatih Terjun Kebangsaan Li Rui dan memberikan lebih tumpuan untuk melatih penerjun elit. 

— BERNAMA



Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *