Oleh Shakir Husain
NEW DELHI, 27 Jan (Bernama) — Kumpulan Adani India mengalami kerugian besar dalam pasaran saham pada Jumaat dengan konglomerat itu terus terkesan atas dakwaan salah laku korporat oleh Hindenburg Research yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Jualan dalam syarikat jutawan Gautam Adani menyebabkan kerugian kira-kira AS$50 bilion nilai pasaran mereka dalam dua sesi dagangan.
Beberapa syarikat Kumpulan Adani mencecah paras terendah dalam dagangan Jumaat, jatuh 20 peratus.
Syarikat perdana Adani Enterprises menjunam 18.5 peratus, Adani Ports jatuh 16 peratus manakala saham Adani Total Gas Ltd dan Adani Transmission Ltd turun 20 peratus.
Hindenburg dalam laporannya bertajuk “Adani Group: How The World’s 3rd Richest Man Is Pulling The Largest Con In Corporate History” pada Selasa mendakwa konglomerat itu melakukan manipulasi pasaran, penipuan perakaunan dan penyalahgunaan syarikat luar pesisir berasaskan cukai tempat perlindungan dalam beberapa siri dakwaan.
Adani Group dalam kenyataan pada Khamis menyelar laporan itu dengan mengatakan ia sedang mempertimbang tindakan undang-undang terhadap Hindenburg Research.
“Laporan berniat jahat dan tidak diselidik yang diterbitkan oleh Hindenburg Research pada 24 Jan 2023 telah memberi kesan buruk kepada Kumpulan Adani, pemegang saham dan pelabur kami. Ketidaktentuan dalam pasaran saham India yang terhasil oleh laporan itu sangat membimbangkan dan telah membawa masalah yang tidak diingini kepada warga India,” menurut kenyataan itu.
Hindenburg bagaimanapun mempertahankan laporan itu dan “mengalu-alukan” tindakan undang-undang Adani.
“Jika Adani serius, ia juga perlu memfailkan saman di AS tempat kami beroperasi. Kami mempunyai senarai panjang dokumen yang akan kami tuntut dalam proses undang-undang,” katanya.
— BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan RM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial