Sabah Benarkan Rentas Daerah Esok, Rentas Negeri Mula 1 November


KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan membenarkan pergerakan rentas negeri bermula pada 1 November ini.

Walau bagaimanapun, bermula esok pergerakan rentas daerah mula dibenarkan di semua daerah di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira laporan peratusan vaksinasi lengkap di Sabah setakat 11 Oktober oleh Jawatankuasa Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) yang telah mencapai lebih 70 peratus.

Kebenaran pergerakan merentas daerah dan negeri ini diberikan kepada individu yang telah lengkap divaksin dan remaja berumur 12 hingga 18 tahun yang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi kanak-kanak di bawah umur 12 tahun, mereka harus ditemani oleh ibu bapa yang lengkap divaksin.

Untuk pergerakan rentas negeri pula, semua individu perlu menjalani ujian saringan RT-PCR atau RTK-Ag dalam tempoh tiga hari sebelum perjalanan.

Kerajaan persekutuan mengumumkan kebenaran rentas negeri seluruh negara bermula 11 Oktober.

Namun, Sabah mengambil pendekatan menangguhkan kebenaran rentas negeri susulan kadar vaksinasi yang masih rendah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *