Rekod perceraian masa PKP tinggi, hampir 140 pasangan setiap hari


Hampir 140 perceraian difailkan sehari dari Mac 2020 hingga Ogos lalu, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Mas Ermieyati Samsudin.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat, sejumlah 66,440 perceraian difailkan pasangan Islam di Mahkamah Syariah melalui Sistem E-Syariah sepanjang 18 bulan itu.

Selangor mencatatkan kadar perceraian tertinggi dalam kalangan pasangan Islam dengan 12,479 permohonan, diikuti Johor (7,558), Kedah (5,985), Kelantan (5,982), Perak (5,921), Terengganu (5,098), Pahang (5,058), Sabah (4,010), Wilayah Persekutuan (3,854), Negeri Sembilan (3,473), Pulau Pinang (2,978), Melaka (2,402), Perlis (1,081) dan Sarawak (561).

Bagi pasangan bukan Islam pula, sebanyak 10,346 perceraian difailkan dari Mac 2020 hingga Ogos tahun ini dan Selangor merekodkan jumlah tertinggi dengan 3,160 permohonan.

Ia disusuli Kuala Lumpur (2,893), Perak (1,209), Johor (1,197), Negeri Sembilan (861), Melaka (449), Pahang (386), Kedah (76), Kelantan (45), Perlis (41) dan Terengganu (29).

“Ini bermakna purata sekurang-kurangnya 18 kes perceraian dalam kalangan pasangan bukan Islam sehari.

“Bagi pasangan Islam, terdapat kira-kira 121 kes sehari. Dalam sejam, kira-kira lima pasangan memohon untuk bercerai. Ketika kita sedang bercakap di Dewan ini, ada pasangan yang memohon perceraian.”

Mas Ermieyati bagaimanapun berkata, statistik dalam kalangan pasangan Islam hanya membabitkan mereka yang memohon perceraian diMahkamah Syariah, tetapi tidak bermakna semuanya diluluskan dan berakhir dengan perceraian.

Beliau menjawab pertanyaan Noor Amin Ahmad (PH-Kangar) berhubung statistik perceraian dari Mac 2020, ketika perintah kawalan pergerakan pertama kali dilaksanakan sehingga kini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *