Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Menurut laporan Berita Harian, Tengku Maimun berkata, sabitan itu bagi semua tujuh pertuduhan dan hukuman dikenakan tidak keterlaluan.
“Rayuan ini dengan sebulat suara ditolak dan sabitan dan hukuman dikekalkan.
“Saya dengan ini mengumumkan waran komital (perintah menjalani hukuman penjara) ,” kata Tengku Maimun memerintahkan prosiding tamat.
Dengan keputusan di akhir prosiding itu, Najib akan mula menjalani hukuman penjaranya berkuat kuasa hari ini.
Tengku Maimun berkata, mahkamah tidak mendapati sebarang kesalahan dalam penghakiman yang dibuat Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Mohd Nazlan yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Ahli Parlimen Pekan itu bagi setiap tiga pertuduhan penyelewengan masing-masing RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta daripada dana SRC.
28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram dan memerintahkannya dipenjara 12 tahun dan didenda RM210 juta.
Kemudian, Najib memfailkan petisyen rayuan mengandungi 307 alasan mengapa beliau sepatutnya dibebaskan daripada tuduhan pada 19 Oktober 2020 dan rayuannya mula didengar di Mahkamah Rayuan pada 5 April 2021.
Pertuduhan terhadap Najib dibuat pada 4 Julai 2018 atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan menyalahgunakan kuasa dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Sesyen.
Pada 8 Ogos 2018 pula, beliau didakwa di Mahkamah Sesyen dengan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah dan dari dana sama.
Najib tiba di Penjara Kajang pada jam 6.47 petang tadi bagi menjalani hukuman. Ketibaan kenderaan yang membawa Najib di penjara dikawal ketat dan diiringi beberapa kereta peronda polis.