PRU15: Srikandi Bersatu Sabah kenal pasti calon tanding empat kawasan Parlimen


KOTA KINABALU, 14 Mei (Bernama) — Srikandi Bersatu Sabah telah menyenaraikan calon untuk bertanding sekurang-kurangnya di empat kawasan Parlimen, dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Ketuanya Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata kawasan berkenaan termasuk di utara, pantai timur dan pedalaman Sabah, yang difikirkan mampu memberikan kemenangan kepada calon wanita.

“Kriteria calon-calon ini adalah dalam kalangan Srikandi yang bekerja dalam kawasan masing-masing, sekurang-kurangnya memiliki pendidikan Diploma, mempunyai pengetahuan bukan hanya dalam politik tetapi juga dalam kerja-kerja kemasyarakatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Srikandi Bersatu Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Azizah yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata senarai calon wanita yang dipilih itu, akan diberikan kepada pucuk pimpinan Bersatu sebelum diumumkan nanti.

Beliau berkata Srikandi Bersatu Sabah juga telah bersiap sedia untuk menghadapi PRU15 dengan menggerakkan jentera parti khususnya mendekati pengundi muda agar mengambil bahagian menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.

Azizah berkata antara perkara yang difokuskan oleh Srikandi Sabah ialah, perjuangan menangani masalah kemiskinan dalam kalangan wanita yang berada di luar bandar, agar mereka dapat berdikari terutamanya yang bergelar ibu tunggal pada usia muda.

Mengulas mengenai kerusi Parlimen Beaufort yang disandangnya, Azizah berkata beliau bersedia melepaskan kerusi berkenaan namun perkara itu bergantung kepada pimpinan Bersatu, sekiranya mahu meletakkan calon baharu.

“Penyandangnya adalah wanita (dari) Srikandi (Bersatu)..bakal pengganti mestilah dari Srikandi juga. Kita ni dalam politik ada masanya kita kena berjuang, ada masanya bagi laluan kepada orang lain pula,” katanya.

— BERNAMA

 

 



Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

Leave a Reply

Your email address will not be published.