Projek FAM-MSN peroleh mata pertama


SHAH ALAM, 8 April — Skuad Projek Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)-Majlis Sukan Negara (MSN) akhirnya berjaya memperoleh mata pertama dalam perlawanan Liga Premier dengan mengikat Kuching City FC apabila seri 2-2, di Stadium UiTM Shah Alam, di sini, malam tadi.

Jurulatihnya Yusri Che Lah berkata kejayaan sulung skuad itu secara tidak langsung menyuntik motivasi kepada pemain dan pengurusan untuk berjuang pada perlawanan seterusnya.

“Saya bersyukur perlawanan ketujuh baharu merasakan satu mata yang berharga, bukan kerana mata yang diperoleh, tetapi komitmen pemain walaupun dua kali ketinggalan. Pembangunan pemain (Projek FAM-MSN) yang dimaksudkan memerlukan masa yang cukup panjang,” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu, malam tadi.

Beliau berkata pemain bangkit setelah tewas dengan jaringan yang besar, 5-0 ketika berdepan Johor Darul Ta’zim II, Ahad lepas, sekali gus menonjolkan sikap positif dan berusaha memperoleh kemenangan dalam 80 minit permainan.

Sementara itu, Penolong Ketua Jurulatih Kuching City FC Sulaiman Hussin berkata Projek FAM-MSN mempamerkan permainan yang lebih bersemangat tetapi kesilapan mudah yang dilakukan pasukannya mengakibatkan dua gol dijaringkan pihak lawan.

“Hari ini kita tidak main seperti yang dirancang, dalam senario terburuk kita tidak kalah dan dapat satu mata di tempat lawan.

“Walaupun semua pasukan ambil mata penuh dengan Projek FAM-MSN, hari ini saya nampak mereka lebih baik berbanding kami dan satu mata itu adil buat kedua-dua pasukan,” katanya.

— BERNAMA

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *