Program Smart SBB bantu tingkatkan produktiviti sawah


PUTRAJAYA, 23 Feb — Program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB), yang menyatukan tanah sawah secara pertanian kontrak atau sewaan, akan meningkatkan produktiviti sawah melalui satu pengurusan sumber secara cekap dan optimum, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee. 

Beliau berkata program itu membabitkan 11 syarikat peneraju dengan sasaran menyatukan kawasan seluas 150,000 hektar untuk fasa pertama yang bakal dilaksanakan pada musim akan datang iaitu sekitar Jun nanti.

Beliau berkata syarikat peneraju akan berfungsi sebagai pengurus projek dan penyedia perkhidmatan seperti penggunaan dron, penyedia jentanam (transplanter) dan pembajak serta penyeliaan penggunaan baja dan racun menerusi pertanian kontrak dengan pesawah terlibat, selain bertindak selaku pembeli dan pengilang bagi padi yang dihasilkan.

Syarikat terbabit ialah Hugeturn Sdn Bhd, Sinaran Murni Sdn Bhd, Eco Agro Pentagon Sdn Bhd, CC Jaya Innovation Sdn Bhd, Hartamas Sentosa Sdn Bhd, Jelapang Pagi Emas Sdn Bhd, Kilang Beras Rajang Sdn Bhd, Kilang Beras Rakyat Sekinchan Sdn Bhd, Padiberas Nasional Bhd, Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia dan FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd, dengan kos pelaburan dianggarkan antara RM900 juta hingga RM1 bilion setahun.

“Program ini dijangka akan meningkatkan purata pendapatan pesawah daripada RM5,000 setahun kepada sehingga RM7,900 setahun,” katanya dalam sidang media selepas pemeteraian perjanjian persafahaman projek Smart SBB antara kerajaan dan syarikat peneraju di sini, hari ini.

Kiandee berkata pendapatan bersih per hektar dalam setahun pula dijangka meningkat daripada RM5,400 sehingga ke RM15,600 sekiranya purata produktiviti per hektar meningkat daripada 3.5 tan metrik kepada sasaran 7.0 tan metrik.

“Menerusi Smart SBB, hampir kesemua risiko dan kos penanaman padi yang sebelum ini ditanggung oleh pesawah akan dapat dikurangkan sekaligus meningkatkan margin pendapatan pesawah,” katanya. 

Kiandee berkata pesawah akan menyertai program Smart SBB menerusi penyertaan secara berkelompok dan koperasi atau persatuan pesawah iaitu mereka akan berunding dengan syarikat peneraju bagi melengkapkan pertanian kontrak atau sewaan dan bebas menanam varieti padi pilihan sama ada padi putih, padi hibrid, padi wangi atau padi organik.

Berbanding program berkaitan SBB yang pernah dilaksanakan sebelum ini, beliau berkata penglibatan syarikat peneraju dalam program itu tidak membabitkan sebarang tambahan kos kepada kerajaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *