KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) — Produk kriptografi tempatan Armed Forces Dedicated Algorithm (ADAM) (algoritma khusus pasukan keselamatan) yang berjaya dihasilkan syarikat tempatan dapat mengurangkan kebergantungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada produk dari luar negara.
Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan berkata selain itu, penghasilan produk berkenaan juga dapat mengangkat kredibiliti syarikat tempatan dalam memperkasakan lagi industri pertahanan negara selaras Kertas Putih Pertahanan dan Dasar Kriptografi Negara.
“Syabas saya ucapkan kepada Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan serta rakan-rakan strategik yang terlibat dengan produk kriptografi yang pertama seumpamanya di Malaysia.
“Semoga ia dapat terus berkembang dan diguna pakai secara meluas oleh agensi siber negara,” katanya ketika merasmikan Program Siber Siaga 2022 di Wisma Perwira ATM di sini hari ini.
Mohd Asghar Khan berkata produk itu yang telah melalui ujian, berjaya mendapat Pengesahan Kriptografi Malaysia daripada Cyber Security Malaysia, 30 Sept lepas.
Beliau berkata keselamatan ekosistem siber negara adalah tanggungjawab bersama dan semua agensi berkaitan siber perlu bersatu menerusi pendekatan menyeluruh kerajaan dan menyeluruh masyarakat (WoGoS) dalam memastikan kemampanan keselamatan ekosistem siber.
“Melalui pendekatan WoGoS ini juga, ia mampu mengelakkan ancaman peperangan atau serangan secara hibrid terhadap nilai-nilai teras keselamatan negara seperti yang termaktub dalam Dasar Keselamatan Negara 2021-2025.
“Ingatlah bahawa ancaman siber ini sentiasa berevolusi dan kegagalan memastikan tahap kesedaran yang tinggi boleh merencatkan segala usaha yang sedang dilaksanakan,” katanya.
Mengenai Program Siber Siaga 2022, Mohd Asghar Khan berkata ia bertujuan memberi kesedaran kepada semua pihak tentang kepentingan memelihara keselamatan ekosistem siber negara.
Turut hadir Ketua Pengarah Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan, Laksamana Muda Datuk Shamsuddin Ludin.
— BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan RM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial