PPPNP rekod pendapatan sebanyak RM830 juta tahun lepas


IPOH, 25 April (Bernama) — Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) atau Perak SADC merekodkan prestasi kewangan memberangsangkan sepanjang tahun lepas apabila mencatatkan pendapatan sebanyak RM830 juta berbanding RM410.7 juta pada 2020.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata daripada sudut pengoperasian, pendapatan PPPNP yang direkodkan pada 2021 adalah sebanyak RM511 juta iaitu peningkatan 24.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Lonjakan pendapatan ini secara dasarnya dipengaruhi oleh faktor kenaikan harga purata Minyak Sawit Mentah (MSM) daripada RM2,692 satu metrik tan kepada RM4,371 satu metrik tan.

“Selain itu, rizab dana PPPNP turut merekodkan peningkatan sebanyak 62.2 peratus iaitu daripada RM473 juta pada 2020 kepada RM767 juta pada 2021.

“Nilai aset bersih PPPNP juga dilaporkan melonjak daripada RM1.781 billion pada 2020 kepada RM2.068 billion sepanjang 2021 iaitu pertambahan sebanyak 16 peratus,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah perbadanan berkenaan bagi membentangkan prestasi kewangan sepanjang 2021 serta prestasi suku pertama 2022 di Ibu Pejabat PPPNP hari ini.

Saarani yang juga yang juga Pengerusi PPPNP berkata prestasi kewangan yang baik itu bukan sahaja membolehkan ia mengembangkan perniagaannya, tetapi juga memberi ruang kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Perak itu dalam memainkan peranan signifikan untuk membantu kerajaan negeri menjana semula ekonomi dan rakyat dalam fasa endemik COVID-19.

Ini termasuk melaksanakan program pengupayaan kapasiti rakyat seperti pembangunan keusahawanan selain melaksanakan projek-projek pertanian berdaya maju sekaligus menambahkan pulangan pendapatan kepada PPPNP selain disalurkan kepada golongan memerlukan.

“Pada tahun ini sahaja, PPPNP telah memperuntukkan sejumlah RM30.7 juta bagi sumbangan kepada rakyat serta alam sekitar,’’ katanya.

Katanya, untuk mengukuhkan inisiatif membantu rakyat, PPPNP mewujudkan konsep #kongsirezeki sebagai platform menyalurkan sumbangan atau bantuan kepada golongan asnaf melalui program tanggungjawab sosial iaitu Agihan Ladang Asnaf menjelang sambutan Aidilfitri tahun ini.

Menurutnya lagi, sumbangan berjumlah RM90,000 yang disalurkan dalam program ini bakal memberi manfaat kepada 300 penerima yang terdiri dalam kalangan golongan asnaf yang mana setiap daripada mereka akan menerima RM300.

Selain itu, beliau berkata PPPNP juga telah menyalurkan sumbangan berjumlah RM1.4 juta sepanjang bulan Ramadan kepada penerima di beberapa daerah di negeri Perak yang turut melibatkan sekolah, masjid, maahad tahfiz, penyediaan bubur lambuk serta program tadarus Al-Quran.

— BERNAMA

 



Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

Leave a Reply

Your email address will not be published.