Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata ketika Pakatan Harapan (PH) memasuki tahun kedua sebagai kerajaan, semua pihak kini perlu menumpukan tenaga dan menggembleng usaha untuk menunaikan janji mereka dan melaksanakan dasar-dasar konkrit untuk mencapai kemakmuran bersama untuk semua.
Beliau berkata dalam menghadapi cabaran dari politik identiti yang ekstrem, hanya usaha berterusan bagi meningkatkan kesejahteraan semua rakyat Malaysia dan melonjakkan ekonomi secara keseluruhan dapat memastikan kelangsungan politik demokrasi.
“Saya merujuk kepada temu bual Bloomberg dengan Perdana Menteri Malaysia (Dr Mahathir), terutama mengenai persoalan berhubung peralihan kepimpinan dari Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya mendapati bahawa media asyik bertanya kepada Perdana Menteri (Dr Mahathir) mengenai perkara itu,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Timbalan Menteri Industri Utama itu berkata semua pihak dalam Pakatan Harapan telah mencapai persetujuan mengenai peralihan kepimpinan dan Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) atas platform ini.
Beliau yang juga anggota Parlimen Hang Tuah Jaya berkata Dr Mahathir telah berkali-kali mengulangi komitmennya untuk menghormati persetujuan itu dan tidak diragui bahawa peralihan akan berlaku pada masa yang ditetapkan secara teratur.
— BERNAMA