PLUMS tawar rebat 10 peratus kepada Alumni, Kakitangan dan Tanggungan Kakitangan UMS –


KOTA KINABALU, 22 Jun – Pusat Luar Universiti Malaysia Sabah (PLUMS) menawarkan pemberian rebat yuran pengajian sebanyak 10 peratus kepada alumni, kakitangan dan tanggungan kakitangan UMS yang mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) atau Ijazah Sarjana (Secara Kerja Kursus / Mod Campuran).

Menurut kenyataan PLUMS, pemberian rebat tersebut bukan sahaja menjimatkan kos pembelajaran, malahan membantu mengatasi kos sampingan seperti logistik, penginapan dan lain-lain yang berkaitan.

“Kaedah pembelajaran juga fleksibel iaitu kuliah hujung minggu dan pada waktu malam, secara tidak langsung menjadikan program kendalian PLUMS sesuai untuk semua pihak khususnya kepada calon-calon pelajar yang sedang bekerja.

“Syarat kemasukan bagi program Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) adalah sekurang-kurangnya memiliki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)/ Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM)/ Diploma/ Sijil Matrikulasi /Sijil Asasi, dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berserta sijil Malaysian University English Test (MUET),” demikian menurut kenyataan itu.

PLUMS dalam kenyataan yang sama juga memaklumkan bahawa calon yang tidak memenuhi syarat yang ditetapkan, namun mempunyai pengalaman kerja boleh memohon menggunakan Sijil APEL Tahap 6 daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). 

“Manakala, calon yang ingin mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Sarjana (Secara Kerja Kursus / Mod Campuran), calon haruslah memiliki sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana Muda atau sijil APEL Tahap 7.

“Pendidikan rasmi adalah satu cabang kejayaan seseorang dalam mengecapi impian sebagai insan berpendidikan dan berpengetahuan luas serta berdaya saing sama ada di peringkat pasaran tempatan mahupun antarabangsa.

“Atas matlamat inilah, maka PLUMS mengambil inisiatif untuk membantu meningkatkan tahap pendidikan warga UMS dengan penawaran rebat 10% selain menyahut kepada saranan kerajaan dalam merealisasikan budaya pembelajaran sepanjang hayat,” jelas kenyataan itu.

Pada masa yang sama, PLUMS juga kini memperkenalkan program Saluran Terbuka Universiti Malaysia Sabah (SATUMS) iaitu pengambilan pelajar sepenuh masa di peringkat Ijazah Sarjana Muda tanpa melalui UPU.

Sebagai tambahan, PLUMS juga merupakan pusat ujian MUET on Demand (MOD) yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat.

Maklumat lanjut tentang pusat pembelajaran PLUMS serta program-program yang dikendalikan boleh diperoleh di laman sesawang rasmi PLUMS di https://www.ums.edu.my/plums/.

Leave a Reply

Your email address will not be published.