Petronas tawar 14 blok cari gali dalam Pusingan Bidaan Malaysia 2022


KUALA LUMPUR, 27 Jan  — Petronas menawarkan 14 blok cari gali, enam kluster Peluang Sumber Ditemui (DRO) dan satu kluster Aset Hayat Lewat (LLA) dalam Pusingan Bidaan Malaysia (MBR) 2022 yang dilancarkan pada Khamis.

Menurut Petronas, pelancaran bertemakan ‘Your Advantaged Energy is Here’ itu telah dihadiri secara fizikal oleh lebih 90 bakal pelabur selain lebih 1,300 pelabur sedia ada dan berpotensi menerusi penstriman langsung dari Amerika Utara, Eropah, Timur Tengah dan Asia Pasifik.

Sebanyak 14 blok cari gali yang ditawarkan itu terletak di wilayah geologi prolifik dalam lembangan Melayu, Sabah dan Sarawak, jelasnya dalam kenyataan.

Ia menambah, kebanyakan blok terbabit mengandungi minyak sedia ada dan/atau penemuan gas yang akan mempercepat aktiviti pengewangan.

Enam kluster DRO yang ditawarkan dalam MBR 2022 ialah Meranti, Ubah, Baram Jr., A, C dan D, kebanyakannya di perairan cetek dan berdekatan dengan infrastruktur pengeluaran sedia ada, menurutnya.

Petronas menambah, LLA tunggal, yang merangkumi kluster tiga medan yang dinamakan Kluster Abu, memberi peluang kepada pengendali baharu untuk mengeluarkan baki minyak yang ada menggunakan kemudahan sedia ada.

Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) Petronas, Mohamed Firouz Asnan berkata melalui kajian lembangan oleh pihaknya, dipercayai terdapat banyak lagi prospek untuk dikenal pasti di lembangan Malaysia, dengan baki berpotensi dianggarkan 21 bilion tong minyak setara (BBOE).

“Kami mengalu-alukan peserta yang memiliki keupayaan unik untuk memanfaatkan potensi di kawasan lama dan baharu,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Petronas juga menawarkan pengaturan kajian teknikal untuk dua kawasan cari gali di selatan Lembangan Melayu dan barat laut Lembangan Sabah.

Melalui kajian itu, pelabur akan berpeluang untuk lebih memahami potensi kawasan, sebelum mengemukakan cadangan bidaan, tambahnya.

Ia menjelaskan, Terma Keuntungan Dipertingkatkan (EPT) Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) yang menarik akan terus diguna pakai bagi blok perairan cetek, manakala terma Aset Medan Kecil (SFA) yang baru diperkenalkan dan LLA PSC akan disertakan masing-masing bersama DRO dan LLA yang ditawarkan.

Menurut Petronas, tiga peluang laut dalam yang ditawarkan dalam MBR 2022 akan mendapat manfaat daripada terma PSC Pendapatan Berbanding Kos (R/C) Perairan Laut Dalam.

Pada masa sama, pelabur akan terus menikmati pilihan bidaan fleksibel seperti penggabungan dua blok bersebelahan di bawah satu PSC, komitmen kerja minimum boleh pindah antara dua PSC yang terletak bersebelahan, selain tempoh cari gali berfasa yang menjadi sebahagian penambahbaikan bukan fiskal yang diperkenalkan sebelum ini.

Platform myPROdata Petronas turut dilancarkan pada majlis yang sama, yang membolehkan pelabur mendapat maklumat mengenai potensi penuh sumber cari gali dan pengeluaran Malaysia.

Ia ditawarkan dengan lima pelan langganan berbeza, masing-masing dengan akses data tersendiri sepanjang masa, jelas syarikat minyak nasional itu.

Susulan pelancaran MBR 2022 itu, Petronas mewujudkan satu ruang data maya yang boleh diakses mulai hari ini sehingga 30 Jun, 2022 untuk kemudahan pelabur berpotensi melakukan semakan data pada bila-bila masa dan di mana sahaja sepanjang tempoh pusingan bidaan tersebut.

Selain mengeluarkan dan menguruskan pengaturan petroleum di Malaysia, Petronas, menerusi MPM, merupakan pembentuk industri minyak dan gas negara serta pemboleh pelaburan yang memacu aktiviti petroleum huluan di Malaysia.

MPM merupakan pihak hubungan tunggal bagi penyertaan pelabur ke dalam industri minyak dan gas Malaysia, satu ciri unik yang membezakan Petronas dengan firma setaranya di peringkat global.

— BERNAMA

 

 

 


 



Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

Leave a Reply

Your email address will not be published.