Pertandingan Pidato Rukun Negara sasar lebih 3,000 peserta


MELAKA, 23 Jun (Bernama) — Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan, Piala Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka 2022 pada 15 Sept depan menyasarkan lebih 3,000 penyertaan dengan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan lebih RM40,000.

Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem berkata enam kategori dipertandingkan pada pidato berkenaan iaitu kategori awam, bukan Melayu, institusi pengajian tinggi (IPT), sekolah menengah (bergandingan), sekolah rendah (bergandingan) serta kategori baharu iaitu penjawat awam.

Beliau berkata pertandingan tersebut bertujuan memberikan pendedahan kepada masyarakat dan generasi muda supaya lebih memahami erti Rukun Negara sebagai asas perpaduan dan jati diri Keluarga Malaysia selain menyemai dan meningkatkan kefahaman rakyat tentang perkara yang terkandung dalam prinsip Rukun Negara.

“Sehingga kini kita telah menerima lebih 1,000 penyertaan bagi kategori sekolah menengah (bergandingan) dan sekolah rendah (bergandingan) sejak penyertaan dibuka pada 13 Jun lepas. Jumlah penyertaan dijangka terus meningkat hingga tarikh tutup pada 15 Julai.

“Pertandingan terbuka kepada masyarakat umum di seluruh Malaysia dan bagi kategori penjawat awam, ia terbuka kepada semua penjawat awam yang sedang berkhidmat di seluruh negara,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Turut hadir, Penasihat Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan, Piala Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka 2022 Datuk Radhuana Salleh dan pengarah pertandingan itu, Prof Datuk Dr Baharudin Puteh.    

Ngwe berkata bagi kategori bukan Melayu, penyertaan terbuka kepada warganegara Malaysia yang bukan berbangsa Melayu berumur 20 tahun ke atas manakala kategori awam terbuka kepada semua warganegara Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas.

Beliau berkata bagi kategori IPT, penyertaan terbuka kepada semua pelajar IPT manakala sekolah menengah (bergandingan) dan sekolah rendah (bergandingan) penyertaan adalah secara berpasangan.

“Peserta perlu menghantar video pidato mereka dan penyertaan itu akan melalui dua saringan sebelum ke peringkat akhir. Pertandingan akhir akan diadakan secara bersemuka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

“Lima peserta bagi setiap kategori akan dipilih ke peringkat akhir dan selain hadiah wang tunai, pemenang juga akan menerima piala iringan, buku serta sijil penyertaan. Setiap kategori akan mempunyai lima pemenang iaitu johan, naib johan, ketiga dan sagu hati (dua orang),” katanya.

— BERNAMA



Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

Leave a Reply

Your email address will not be published.