Peluang pekerjaan jadi keutamaan ECERDC di Kelantan


Kuala Lumpur: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) akan memberi tumpuan kepada beberapa sektor khususnya pelancongan di Kelantan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat dan membasmi kemiskinan.

Malah, ia juga bekerjasama erat dengan kerajaan negeri Kelantan untuk melaksanakan pelbagai projek berimpak tinggi dan program pembangunan modal insan.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat berkata, Kelantan mencatatkan kadar kemiskinan tertinggi di ECER dan kedua tertinggi di Malaysia.

“Semakan semula had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Kelantan pada tahun 2020 daripada RM894 kepada RM2,139, dijangka akan meningkatkan jumlah isi rumah yang hidup di dalam kemiskinan dari 18,345 kepada 50,255.

“Manakala keseluruhan 16,712 Orang Asli di Kelantan tergolong dalam golongan miskin tegar.

“Dianggarkan lebih daripada 28,000 orang di Kelantan menganggur dan hampir separuh daripadanya adalah graduan,” katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) Kelantan, semalam.

Menurutnya, berikutan itu, pewujudan peluang pekerjaan dan keusahawanan tetap menjadi keutamaan ECERDC di Kelantan.

“Walaupun pandemik ini memberi impak kepada matlamat ECERDC dalam jangka masa pendek, kami akan terus melaksanakan projek infrastruktur dan program pembangunan modal insan demi menjamin pertumbuhan jangka panjang negeri Kelantan.

“Usaha ini akan menjadi asas yang akan memudahkan tarikan pelaburan lebih besar ke negeri ini, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan untuk rakyat,” katanya.

Menurutnya, sektor utama yang dikenal pasti berpotensi untuk mewujudkan pertumbuhan ekonomi jangka panjang adalah pelancongan.

“Walaupun sempadan masih ditutup kepada pelancong asing, penambahbaikan infrastruktur di lokasi pelancongan utama akan meningkatkan daya tahan industri selepas sempadan dibuka kelak di samping menarik kedatangan pelancong domestik.

“Selain itu, ECERDC turut memberi fokus kepada sektor pertanian, terutama industri perikanan, tenusu dan daging yang berpotensi tinggi untuk menjana pembangunan sosioekonomi,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *