Pelajar IPT balik belajar di universiti mulai 15 Okt


Semua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) akan mula kembali ke kampus masing-masing secara berperingkat mulai 15 Oktober ini, kata Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas sesi libat urus membabitkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), naib canselor dan timbalan naib canselor serta wakil persatuan pelajar.

Katanya, bagaimanapun kemasukan pelajar adalah tertakluk kepada mereka yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 dan melepasi tempoh ditetapkan (selepas suntikan dos kedua).

“Selain itu, prosedur operasi standard (SOP) ketat akan terus dilaksanakan di semua IPT berkenaan bagi memastikan keselamatan pelajar sentiasa diberi keutamaan.

“Bagi pelajar atau kakitangan IPT yang belum menerima vaksin, mereka boleh mendapatkannya di pusat pemberian vaksin (PPV) secara ‘walk in’ dengan membawa kad pelajar atau kad pekerja serta kad pengenalan mereka,” katanya ketika pengumuman mengenai operasi IPT.

Noraini berkata, perkara itu penting bagi memastikan usaha mewujudkan imuniti kelompok dapat dicapai secepat mungkin di semua IPT dan hanya pelajar serta kakitangan yang sudah menerima dos lengkap vaksin dibenarkan memasuki kawasan kampus sebaik sahaja sesi akademik dimulakan.

“KPT mensasarkan 100% pelajar IPT menerima vaksin Covid-19 mereka menjelang hujung Okt. Setakat ini hanya 66% pelajar IPT menerima vaksin, manakala 90% kakitangan IPT sudah lengkap divaksin, jadi kita harap mereka segera mendapatkan vaksin di PPV berhampiran.

“Bagi pelajar (IPT) baharu pula, mereka juga boleh mendapatkan vaksin secara ‘walk-in’ dengan membawa surat tawaran kemasukan ke IPT dan kad pengenalan ke PPV di kawasan mereka,” katanya.

Tambah beliau, bagi pelajar IPT di Semenajung, mereka hanya perlu mengemukakan surat kebenaran kembali ke kampus masing-masing kepada pihak berkuasa, manakala bagi pelajar IPT di Sabah, Sarawak dan Labuan, mereka perlu mematuhi SOP ditetapkan kerajaan negeri tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *