PBB gesa bantuan US$1.2 bilion untuk Afghanistan dipercepat


NEW YORK, 15 Sept — Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa menggesa negara yang berikar menyumbang dana US$1.2 bilion ke Afghanistan akan segera berbuat demikian bagi menjamin keperluan makanan, kesihatan dan perlindungan rakyat, lapor Xinhua.

Ketua jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata bantuan kemanusiaan dan pembangunan itu diumumkan dalam satu persidangan peringkat tinggi di Geneva, dipengerusikan Setiausaha Agungnya, Antonio Guterres pada Isnin.

“PBB dan pertubuhan kemanusiaan, termasuk pertubuhan bukan kerajaan peringkat kebangsaan dan antarabangsa dapat bergerak dengan cepat sekiranya dana disalurkan lebih awal bagi tujuan kesihatan dan perlindungan rakyat Afghanistan,” kata Dujarric.

Sementara itu, organisasi dunia dan pertubuhan kemanusiaan terus menyalurkan bantuan kepada berjuta rakyat yang memerlukan, termasuk beberapa misi bantuan berjaya dilakukan dari Mazar-i-Sharif ke Maimana dan dari Kabul ke Jalalabad, katanya.

Konvoi kemanusiaan Suruhanjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR) turut berjaya sampai di Nangarhar, menurut jurucakap itu.

“Ini adalah konvoi kedua yang membawa barang keperluan asasi memasuki Afghanistan melalui Torkham Border Crossing sejak 15 Ogos,” katanya.

Beliau berkata program Makanan Dunia (WFP) turut meneruskan bantuan makanan bermusim untuk tempoh sebulan buat keluarga yang memerlukan.  

Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO) turut meminta bantuan segera demi menyelamatkan hasil pertanian Afghanistan dan kelangsungan haiwan ternakan, termasuk mengelakkan krisis kemanusiaan semakin parah. 

Dana tersebut bagi memastikan petani dapat menanam gandum pada musim sejuk akan datang dan membantu 3.5 juta penduduk Afghanistan yang bergantung dengan sektor pertanian, untuk tempoh sehingga akhir tahun ini.

— BERNAMA



Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *