Pakar PBB puji kepimpinan Malaysia berhubung krisis Myanmar, gesa negara ASEAN lain ambil pendekatan sama


KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) — Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai situasi hak asasi manusia di Myanmar, Thomas Andrews, menyatakan penghargaannya terhadap  usaha yang ditunjukkan kepimpinan Malaysia berhubung krisis di Myanmar.

Bercakap pada sidang media sempena lawatannya ke Malaysia, di sini Khamis, beliau menggesa negara-negara Asia Tenggara lain mengambil pendekatan sama bagi menangani malapetaka hak asasi manusia yang menimpa Myanmar.

Beliau berkata Malaysia telah menyuarakan fakta yang jelas bahawa selepas lebih setahun pemimpin ASEAN mencapai Konsensus Lima Perkara (5PC) mengenai Myanmar, tiada apa yang berubah malah lebih ramai orang terbunuh atau terpaksa meninggalkan negara itu.

Andrews berkata sudah terlalu banyak yang dikorbankan negara dan rakyat Myanmar atas sikap berpuas hati dan tidak berbuat apa-apa masyarakat antarabangsa, kerana itu kepimpinan yang ditunjukkan Malaysia memainkan peranan sangat penting.

“Menteri Luar (Datuk Seri) Saifuddin (Abdullah) telah memohon rakan-rakan ASEAN jagan tunggu lagi setahun – jangan hanya bercakap mengenai konsensus lima perkara tetapi mencipta dan melibatkan pelan tindakan untuk bergerak ke depan – pelan tindakan dengan jangka masa pelaksanaan.

“Malaysia bukan sahaja menyeru agar ASEAN terlibat dengan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar, ia telah mula melibatkan diri dengan Menteri Luar NUG Mar Aung,” katanya.

Andrews yang juga bekas ahli Kongres Amerika Syarikat berada di sini dari 17 hingga 23 Jun bagi mengumpulkan maklumat tentang situasi hak asasi manusia di Myanmar dan untuk lebih memahami tindak balas Malaysia serta ASEAN terhadap krisis itu.

Sepanjang minggu ini, beliau telah bertemu dengan beberapa pegawai kerajaan Malaysia, Ahli Parlimen, pemimpin masyarakat awam dan individu daripada pelbagai komuniti Myanmar yang telah melarikan diri daripada keganasan dan penganiayaan tentera.

Malaysia adalah negara ASEAN pertama yang dikunjunginya. 

Andrews berkata misinya di sini memberinya peluang untuk bertemu dengan ramai lelaki, wanita dan kanak-kanak yang melarikan diri dari Myanmar, termasuk mereka yang baru tiba di Malaysia.

“Mereka bercerita tentang apa yang mereka saksikan atau alami. Kisah-kisah ini, menunjukkan keganasan yang melanda di seluruh negara,” katanya ketika berkongsi mengenai hasil peringkat awal laporannya.

Andrews berkata sejak rampasan kuasa tentera pada Feb 2021, lebih 2,000 orang awam telah terbunuh, lebih 14,000 ditahan manakala lebih satu juta hilang tempat tinggal atau melarikan diri. 

Krisis itu juga menjerumuskan Myanmar ke kancah krisis ekonomi dan kemanusiaan yang mengancam nyawa dan kesejahteraan berjuta-juta penduduk.

Kumpulan bersenjata telah membunuh atau mencederakan sekurang-kurangnya 382 kanak-kanak, manakala lebih 1,400 ditahan dan sekurang-kurangnya 142 diseksa, katanya memetik laporannya mengenai kanak-kanak yang terjejas akibat rampasan kuasa tentera Junta yang diterbitkan baru-baru ini.

“Keadaan di Myanmar adalah malapetaka hak asasi manusia. Orang ramai yang melarikan diri dari Myanmar berusaha bermati-matian untuk lari dari serangan, penganiayaan dan penyeksaan. Mereka terdesak untuk selamatkan nyawa mereka dan keluarga mereka,” katanya.

Beliau berkata mustahil untuk menangani isu berkaitan mereka yang mencari perlindungan di Malaysia dan negara lain di rantau ini tanpa menangani krisis di Myanmar dengan berkesan.

“Malaysia bukan sahaja mengakui hakikat ini, malah sudah siap sedia, diterjemahkan menerusi kata-kata dan tindakan Menteri Luar Malaysia, untuk cabar ASEAN kaji semula dasar sedia ada mengenai Myanmar,” katanya.

— BERNAMA



Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

Leave a Reply

Your email address will not be published.