Minyak masak mahal: Kementerian cari formula ‘menang-menang’


Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi sedang mencari formula “menang-menang” dalam usaha mereka memastikan harga minyak masak tidak bersubsidi distabilkan di pasaran.

Menterinya Mohd Khairuddin Aman Razali berkata langkah itu diusahakan melalui perbincangan dengan Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) serta beberapa pemain industri sawit terkemuka negara.

Katanya perbincangan tersebut berlangsung secara maya hari ini.

Ahli parlimen Kuala Nerus dari PAS itu menjelaskan sesi tersebut diadakan selepas pihaknya bermesyuarat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan kabinet.

“Perbincangan itu menumpukan kepada syor dan cadangan yang konkrit dapat disepakati untuk memastikan rakyat dapat menikmati harga minyak masak yang berpatutan selain memperoleh situasi menang-menang antara pemain industri, peruncit dan pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Isu kenaikan ketara harga minyak masak menjadi perhatian ramai akhir-akhir ini apabila ia melepasi paras RM32 bagi botol berisi 5kg.

Mohd Khairuddin sebelum ini menjelaskan kenaikan itu berpunca daripada peningkatan harga pasaran dunia untuk komoditi tersebut.

Dia juga berpendapat dengan rantaian bekalan menerusi pemborong dan peruncit, sangat munasabah harga minyak masak di pasaran sekitar RM30 bagi setiap 5kg.

“Sudah lama rakyat M40 dan T20 (60 peratus rakyat Malaysia) yang kaya menikmati harga minyak masak dengan harga rendah di atas kudrat dan keringat para pekebun kecil yang berpendapatan kecil.

“Golongan kaya menikmati harga minyak masak sekitar RM20 untuk 5kg. Kos proses di kilang sekitar RM3 per kg termasuk botol dan pembungkusan,” katanya pada 8 Jun lalu. 

Dalam perbincangan hari ini kata Mohd Khairuddin antara pengurusan tertinggi Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang hadir ialah ketua setiausaha Ravi Muthaya, Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Mad Zaidi Mohd Karli, Pengarah Urusan Kumpulan IOI, Lee Yeow Chor; Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby, Mohamad Helmy Othman Basha dan wakil FGV Holding Bhd, Azman Ahmad. 



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *