MASkargo sasar bahagian pasaran lebih besar menerusi perkhidmatan baharu


KUALA LUMPUR, 8 April — MAB Kargo Sdn Bhd (MASkargo), cabang logistik kargo udara Malaysia Airlines, menyasarkan penguasaan bahagian pasaran yang lebih besar, dipacu perkongsian strategiknya yang baru dibentuk dengan syarikat penghantaran antarabangsa, DHL Express (M) Sdn Bhd (DHL).

Ketua Pegawai Eksekutif MASkargo, Ibrahim Mohamed Salleh berkata penguasaan bahagian pasaran pengangkutan udara di Malaysia yang dicatatkan pihaknya pada masa ini adalah 40 hingga 50 peratus.

“Ia merupakan antara bidang (pertumbuhan) berpotensi yang diberikan penekanan oleh kami memandangkan perkhidmatan ini amat inovatif dan akan berkembang pesat.

“Ia juga memerlukan sedikit masa untuk masyarakat umum memahami dan mula memikirkan cara untuk memanfaatkan (perkhidmatan baharu ini)…namun apabila mereka menggunakannya (dan mendapati perkhidmatan ini mudah), ia akan berkembang pesat,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani perjanjian perkongsian dengan DHL di sini, pada Khamis.

Hadir sama ialah Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei, Julian Neo Poh Choon.

Perjanjian perkongsian itu adalah bagi pelaksanaan ‘MH Door-to-Door’ (MHD2D), satu perkhidmatan penghantaran dari pintu ke pintu yang menggunakan portal web untuk membolehkan pelanggan mendapatkan sebut harga, menempah slot penghantaran, membayar secara dalam talian, mencetak nota pengiriman dan menjejaki penghantaran.

DHL akan menyediakan perkhidmatan peringkat akhir penghantaran iaitu mengambil dan menghantar barang kepada penerima.

Penyelesaian menyeluruh secara komprehensif ini akan tersedia untuk orang ramai menerusi www.mhd2d.com mulai 24 April, 2021.

Ibrahim berkata perkhidmatan baharu ini akan menjadi antara inovasi utama yang akan dimiliki oleh industri kargo syarikat penerbangan.

“Model perniagaan MASkargo sentiasa berasaskan konsep lapangan terbang ke lapangan terbang.

“Namun, perkembangan tingkah laku pembelian pelanggan dan harapan mereka terhadap penghantaran barangan masa kini menunjukkan perlunya kami memberi perkhidmatan untuk berada lebih dekat dengan pelanggan,” katanya.

Beliau berkata produk e-dagang pada masa ini membentuk 10 peratus daripada kapasiti muatan keseluruhan MASkargo.

— BERNAMA

 

 

 


 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *