Mangsa Ketiga Dan Terakhir Tragedi Bot Karam Di Kunak Ditemui


KUNAK : Mangsa ketiga dan terakhir insiden bot dinaiki empat sekeluarga yang karam di perairan Pulau Tagabua, di sini, semalam, ditemui lemas, pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata mangsa, Saujal Mangguna, 31, ditemui jam 10.30 pagi oleh nelayan di perairan berkenaan.

Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

2 anak mangsa dikenali Mohd Haizal, 5 dan adiknya, Suriani, 3 ditemui lemas, semalam.

Manakala ibu mereka, Kalsum Alam, 35, terselamat.

Dalam tragedi itu, empat sekeluarga berkenaan sedang dalam perjalanan dari Kampung Bangkuruan, Lahad Datu ke Pekan Kunak dipercayai untuk membeli barangan keperluan harian.

Namun, bot dinaiki terbalik setelah dipukul ombak di perairan Pulau Tagabua.

Gerakan mencari membabitkan JBPM, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ditamatkan 12.28 tengahari tadi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.