Mahu hak mengundi dalam PRN Sarawak, 3 anak muda tampil fail semakan kehakiman


Tiga anak muda Sarawak memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini pada petang Selasa terhadap Pendaftar Pilihan Raya Sarawak (Registrar of Electors for Sarawak) dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) agar mereka dapat mengundi dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12).

Clement Wong, salah seorang peguam yang mewakili pemohon berkata, semakan kehakiman difailkan supaya mereka diberikan hak mengundi dalam mana-mana pilihan raya bagi Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN) yang diadakan selepas 15 Disember tahun ini, lapor Utusan Borneo.

Pemohon iaitu tiga anak muda yang menetap di Kuching, terdiri daripada seorang gadis; Avril Clarice Chin Ning, 18 dan dua remaja lelaki masing-masing berusia 19 tahun iaitu Ivan Alexander Ong dan Addam Johanson Jeremy Shayne.

“Semakan kehakiman ini juga bertujuan untuk membatalkan Notis Pilihan Raya (Election Notice) dan Notis Daftar Pemilih (Electoral Roll Notice) atau mana-mana bahagian daripadanya.

“Ia juga bagi mendapatkan arahan atau perintah bersifat (mandamus) yang memaksa responden (Pendaftar Pilihan Raya Sarawak dan SPR) mengambil langkah segera untuk memastikan tiga anak muda tersebut (pemohon) dan warganegara lain seumpamanya berhak mengundi di bawah Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan,” ujar Clement dalam satu sidang media di pejabatnya di Gala City di sini, hari ini.

Terdahulu pada 2 Disember, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan yang kelayakan umur bagi pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik tidak terpakai bagi PRN12.

Menurut Wan Junaidi juga, PRN Sarawak pada 18 Disember ini ditetapkan hanya menggunakan Daftar Pemilih Pilihan Raya terkini yang dikemas kini sehingga 2 November 2021, meskipun Undi 18 sudah diwartakan. 

Mengulas lanjut Clement berkata, permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi semakan kehakiman ini akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuching, Alexander Siew pada 13 Disember ini. 

“Sementara menunggu pelupusan penuh dan muktamad bagi permohonan semakan kehakiman tersebut, pemohon juga memohon pelepasan sementara untuk menangguhkan pelaksanaan dan penguatkuasaan notis pilihan raya bertarikh 25 Disember 2021,” ujarnya lagi.

Selain Clement, turut mewakili anak-anak muda tersebut adalah peguam-peguam terdiri daripada George Lo, Simon Siah, Janise Then, Jonathan Tay dan Christopher Chin.

Dalam pada itu George Lo berkata, tiga anak muda yang berani ini bukan sahaja berjuang untuk diri mereka sendiri, malah untuk semua belia di Sarawak agar hak asasi dan perlembagaan untuk mengundi dihormati oleh pihak berkuasa.

“Mereka mahu undi mereka diambil kira dalam PRN12 ini dan pihak kami percaya mereka patut diberikan hak berbuat demikian. 

“Adalah salah untuk merampas hak mereka yang hendak mengundi dan oleh sebab itulah sekumpulan peguam membantu tiga anak muda ini memfailkan semakan kehakiman tersebut,” ujarnya.

Menurut Simon pula, terdapat dua pilihan dalam hal ini iaitu supaya belia diberikan hak mengundi bagi PRN12 pada 18 Disember kelak tanpa mengambil kira sama ada nama mereka tersenarai dalam daftar pemilih ataupun tidak.

“Kedua, sekiranya terdapat syarat seperti nama mereka mesti tersenarai dalam daftar pemilih, maka PRN12 harus dihentikan atau ditangguhkan pada tarikh lain agar nama pengundi berumur 18 ke 20 tahun (Undi 18) dapat dimasukkan ke senarai tersebut dan mereka seterusnya dapat mengundi dalam PRN12,” ujar Simon. 

Leave a Reply

Your email address will not be published.