MAGERAN dicadang ambil alih kerajaan dari PN


Dr Mahathir Mohamad mencadangkan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ditubuhkan untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan daripada Perikatan Nasional (PN) susulan kegagalan pakatan itu mentadbir negara ketika pandemik Covid-19.

Bekas perdana menteri memberi cadangan itu ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara, hari ini.

“Kita cadang MAGERAN diberi kuasa untuk menyelesaikan beberapa masalah dihadapi negara. Namun penubuhannya bergantung kepada kerajaan PN kerana kerajaan yang ada ketika ini sahaja boleh mencadangkan supaya MAGERAN ditubuhkan kepada Agong,” katanya pada sidang media secara maya selepas menghadap ASultan Abdullah.

Mengulas calon sesuai mengetuai MAGERAN, Ahli Parlimen Langkawi itu menjelaskan perkara berkenaan tidak disentuh ketika sesi menghadap namun beliau secara peribadi menawarkan diri sekiranya kerajaan mahu beliau kembali berkhidmat.

Ketika ditanya adakah Yang di-Pertuan Agong menerima cadangan itu Mahathir berkata, Sultan Abdullah tidak menolak atau membantah cadangan berkenaan.

“Agong tak reject (tolak), dia tak kata tidak,” katanya.

Mahathir menjelaskan, Pejuang mencadangkan MAGERAN sebagai penyelesaian kepada krisis ketika ini kerana ia terbukti berkesan dalam menangani permasalahan politik ketika 1969.

“MAGERAN yang diketuai Tun Razak (Abdul Razak Hussein) ketika itu berjaya tangani masalah politik yang meruncing dengan menjemput parti lawan menyertai kerajaan.

“Ketika itu, Dasar Ekonomi Baharu ditubuhkan Tun Razak berjaya stabilkan politik dalam negara malah terus memerintah dengan majoriti lebih kuat. Saya rasa kali ini kita juga boleh lakukan,” katanya.

Bagaimanapun pemimpin berusia 95 tahun itu secara sinis berkata, cadangannya mungkin tidak akan diterima pimpinan Muhyiddin Yassin yang sejak awal lagi menentang penubuhan badan itu.

“Saya tak yakin kerajaan Muhyiddin nak tubuh MAGERAN kerana awal-awal lagi Muhyiddin tak suka dan tetap tidak akan cadang MAGERAN kerana dia berpendapat PN sekarang cukup berjaya dalam semua bidang dan berjalan dengan baik.

“Pelaburan juga banyak masuk tetapi hakikatnya kerajaan yang ada sekarang ini tiada keyakinan rakyat dan mereka (rakyat) mendesak satu kuasa baharu ditubuhkan,” katanya.

Terdahulu Mahathir tiba di Istana Negara pada 2 petang dengan menaiki kereta Proton X70. Beliau menghadap Sultan Abdullah kira-kira sejam dan meninggalkan pekarangan Istana Negara pada 3 petang.

Pengerusi Pejuang itu adalah pemimpin politik ketujuh menghadap Agong sejak semalam.

Ini kali pertama Mahathir menghadap Agong secara bersemuka selepas melepaskan jawatan perdana menteri pada Februari tahun lalu yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Sebelum ini, beliau dua kali menghantar permohonan kepada Agong untuk menghadap selepas perisytiharan darurat pada Januari lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *