Lima suspek baharu dimasukkan dalam senarai 20 individu dikehendaki ESSCOM


Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) mengeluarkan 20 identiti individu yang mempunyai hubungan dengan Militan Abu Sayyaf (ASG).

Menurut Utusan Borneo, Komander ESSCOM Deputi Komisioner Hamzah Ahmad berkata kesemua individu warganegara asing itu juga berada dalam senarai dikehendaki pihak berkuasa bagi membantu siasatan dalam kes jenayah rentas sempadan dan culik untuk wang tebusan (KFR) di EssZone.

Katanya, susulan kejayaan ESSCOM menumpaskan sel-sel kumpulan ASG di Sabah tahun lalu kemudiannya berjaya membawa kepada pendedahan aktiviti terbaharu kumpulan ini.

“Lima individu baharu yang dimasukkan dalam senarai ialah Ahadin Hussein, Ellam Sajirin @ Nasirin, Ismurah Jirah yang dipercayai berperanan sebagai keepers dan terlibat dalam kes penculikan di perairan tambisan.  

“Individu keempat ialah Madjid Said @ Ammah Pattit ialah ketua paling senior Daulah Islamiah (DI) Sulu Based dan berperanan sebagai komander ASG Sulu serta sub leader yang bakal menggantikan Hatib Hajan Sawadjaan.  

“Individu kelima ialah Mudzrimar @ Mundi Sawadjaan yang juga anak saudara kepada Hatib Hajan Sawadjaan dan sub leader dalam ASG serta mempunyai kepakaran membuat bom selain merancang letupan bagi insiden di ‘The Our Lady Of Mount Carmel Cathedral Jolo’pada 27 Januari 2020 dan insiden lain di Jolo pada 24 Ogos 2020,” katanya.

Beliau berkata 15 lagi individu adalah mereka yang tersenarai dalam suspek dikehendaki termasuklah Salip Mura, AI Munjir Yadah, Ben Tatoh Quirino, Basaron Arok, Mujimar Sawadjaan @ Rasad, Marajan @ Manajan Asiri, Jul Aksan Abdurajan @ Halimaw, Jul @ Jun Hasan, Barak Undog @ Alvin, Hamsan  Pakkan @ Black Cobra, Sabri Madrasul @ Salip Jul, Hadji Wahad @ Talip, Tampi @ Bunju, Haibin Mubin @ Apo Kuhambo dan Sangbas Parisko.  

“Lima individu dikehendaki dalam senarai Wanted List Jun 2021 iaitu Apo Mike @ Majan Sahidjuan, Raden Abuh, Long Sahirin, Japs Sawadjaan @ Musafar Sawadjaan dan Halipa sudah ditembak mati dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Filipina di selatan negara tersebut.  

“ESSCOM akan memperhebatkan operasi khas untuk menjejaki anasir terlibat dan melancarkan operasi bersepadu laut dan darat bagi membenteras elemen tidak diingini di EssZone serta penceroboh yang menceroboh keamanan dan keselamatan di kawasan ini.  

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai senarai individu yang dikehendaki ini boleh menghubungi Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863 181 atau menghantar maklumat melalui aplikasi Whatsapp di talian 011-63311072,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.