Lepas disoal kemahiran BM, MCA cabar calon DAP berdebat


PRN JOHOR | MCA telah memilih calon DAP untuk Johor Jaya Liow Cai Tung untuk berdebat dalam Bahasa Malaysia.

Ini selepas Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong semalam mendakwa calon partinya lebih baik daripada MCA dalam setiap aspek termasuk kebolehan bertutur dalam bahasa kebangsaan.

Calon MCA Johor Jaya Chan San San berkata dakwaan Liew bahawa sekurang-kurangnya 10 daripada 15 calon MCA tidak boleh bercakap dengan fasih dalam bahasa kebangsaan tanpa membaca daripada skrip adalah tidak berasas.

“Beliau sengaja mengenepikan fakta dan membuat tuduhan melulu sebagai taktik kotor beliau untuk memburuk-burukkan pihak lawan,” kata calon BN itu pada satu kenyataan.

Chan berkata semua calon BN-MCA dipilih melalui proses pemilihan yang ketat dan teliti, serta memenuhi kelayakan untuk bertanding.

“Chan San San juga bersetuju bahawa pemimpin yang fasih bertutur dalam Bahasa Melayu boleh membawa suara pengundi ke Dewan Undangan Negeri dengan lebih baik, berkhidmat dan berjuang untuk mereka serta membawa pembangunan yang lebih baik untuk kawasan itu.

“Justeru itu, Chan San San berharap Liow Cai Tung berani menyahut cabaran untuk berdebat supaya pengundi dapat menyaksikan tahap keupayaan calon DAP bertutur dalam Bahasa Melayu,” kata MCA.

Parti itu turut menyiarkan poster promosi mengumumkan perbahasan antara Chan dan Liow di ibu pejabat MCA Pasir Gudang esok (Khamis, 10 Mac).

Parti itu sebelum ini juga mengumumkan perdebatan antara Presiden MCA Wee Ka Siong dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengenai isu pendidikan Cina walaupun mereka tidak memberi sebarang maklum balas.

MCA akhirnya mengumumkan bahawa perbahasan tersebut tidak dapat diteruskan kerana mereka tidak dapat menerima kelulusan polis.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *