KUIM laksana program kesihatan di dua PPR


ALOR GAJAH, 23 Feb  — Fakulti Kejururawatan dan Sains Kesihatan, Kolej Universiti Islam (KUIM), melaksanakan dua program kesihatan iaitu ‘Fat to Fit’ dan ‘Body Weight Management’ di dua Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Melaka selama 50 hari bermula 20 Feb lepas.

Dekan Fakulti Kejururawatan dan Sains Kesihatan Saadiah Ridzuaniah Abu Hassan Ashaari berkata program ‘Fat to Fit’ dilaksanakan di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) PPR Tehel, Jasin manakala program ‘Body Weight Management’ dijalankan di KRT Taman Krubung Jaya Fasa III.

Katanya, program itu bertujuan memberi kesedaran tentang bahaya obesiti serta memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat setempat, di samping membantu mengawal dan mengurangkan berat ke tahap berat badan ideal.

“Program berkenaan adalah berkonsepkan fasilitator dan bimbingan (coaching) yang dijalankan secara dalam talian, oleh perunding kesihatan yang dilantik dalam kalangan tenaga pengajar Fakulti Kejururawatan dan Sains Kesihatan KUIM.

“Peserta dibahagikan kepada kumpulan dan perunding kesihatan berperanan sebagai fasilitator dan motivator, akan berkongsi maklumat tentang pemakanan, aktiviti senaman dan nasihat kesihatan sepanjang 50 hari program berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata berat badan peserta diambil pada hari pertama program, dan akan direkod perubahan setiap 10 hari sehingga program tamat, dan pelbagai aktiviti senaman telah dirancang setiap minggu secara dalam talian.

Katanya peserta perlu merakam dan berkongsi aktiviti yang dilaksanakan bersama fasilitator dan peserta yang lain sebagai bukti komitmen.

Saadiah Ridzuaniah berkata program konsep sama berjaya dijalankan bersama komuniti Teluk Mas, dan secara tidak langsung telah membuktikan bantuan fasilitator, sokongan dari kumpulan serta komitmen dari peserta, dapat membantu mengurangkan berat badan mereka.

— BERNAMA  

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *