Kuari Roboh: Operator Jentolak Ditemukan Maut Selepas 21 Jam Tertimbus


KUCHING: Seorang operator jentolak ditemukan maut hari ini selepas lebih 21 jam tertimbus dalam kejadian kuari roboh di Jalan Kampung Tanjung Durian Siniawan, Bau, petang semalam.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba dan Penyelamat Sarawak memaklumkan mangsa Anthony Kan-na, 49, berjaya dikeluarkan dari jenteranya yang tertimbus pada 12.23 tengah hari tadi dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Jentera jengkaut berjaya mengorek dengan menjumpai sebahagian tempat duduk operator iaitu mangsa yang tertimbus. Komander operasi mengarahkan anggota penyelamat menjalankan kerja-kerja penyelamatan dengan menggunakan peralatan RTA (road traffic accident), untuk mengeluarkan mangsa yang tertimbus,” menurut PGO dalam kenyataan.

Semalam, pasukan bomba bersama kakitangan Syarikat Holly Stone Quarry telah memulakan operasi mencari dan menyelamat pada kira-kira 3.18 petang, sebaik menerima laporan kecemasan namun operasi itu terpaksa ditangguhkan dua kali iaitu pada 4.45 petang dan 8.45 malam atas faktor keselamatan ekoran cuaca yang kurang baik.

Operasi bagaimanapun disambung semula kira-kira 8.45 pagi tadi.

Menurut PGO, maklumat awal mendapati terdapat aktiviti mengebom bagi memecahkan batuan di kawasan kuari berkenaan dilakukan pihak syarikat terbabit yang menyebabkan struktur batu tidak stabil dan telah runtuh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *