KKM tak lagi kecualikan kontak rapat tanpa gejala


Kementerian Kesihatan (KKM) kini memberikan keutamaan kepada kontak rapat yang berisiko tingggi dan bergejala untuk menjalani ujian pengesanan Covid-19.

Dalam surat pekeliling kementerian itu bertarikh 17 Februari yang dilihat oleh Malaysiakini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata para pegawai KKM harus mengenal pasti “semua kontak rapat” dan mengarahkan mereka menjalani kuarantin di rumah.

“Ujian pengesanan Covid-19 hendaklah dilaksanakan ke atas kontak rapat kes positif Covid-19.

“Pengambilan sampel kontak rapat boleh diberi keutamaan kepada kontak rapat yang bergejala atau daripada kumpulan berisiko tinggi ,” katanya.

Pada 13 Januari KKM dalam surat pekelilingnya mengeluarkan arahan bahawa ujian Covid-19 hanya akan dijalankan ke atas kontak rapat yang bergejala sahaja.

Surat pekeliling bulan lalu itu juga menyatakan bahawa hanya 20 sampel yang akan diambil dalam kluster yang kurang daripada 50 kontak rapat.

Sekiranya melebihi 50 orang, hanya 30 sampel atau 10 peratus orang diuji, bergantung kepada bilangan yang lebih rendah.

Bagaimanapun surat pekeliling terbaru ini tidak menyatakan syarat bilangan seumpama itu.

Selain itu, KKM kini akan melakukan ujian kedua kepada kontak rapat pada hari kelapan mereka menjalani kuarantin di rumah.

Surat pekeliling bulan lalu menyatakan bahawa pesakit tidak perlu menjalani ujian saringan pada hari ke-10.

RTK-Ag untuk kemasukan ke hospital

Surat pekeliling terbaru itu menyatakan bahawa doktor kini boleh menggunakan kit ujian pantas berasaskan antigen (RTK-Ag) bagi kemasukan ke hospital mengikut situasi tertentu.

RT-PCR yang lebih tepat dan memerlukan tempoh hingga enam jam pemprosesan makmal, boleh digunakan sekiranya “mempunyai kapasiti mencukupi di lapangan”.

Bagaimanapun, di kawasan yang mencatatkan jumlah kes yang tinggi, RTK-Ag boleh digunakan tanpa perlu mengulanginya dengan ujian RT-PCR.

RTK-Ag tidak memerlukan pemprosesan makmal dan keputusannya boleh diketahui dalam waktu kurang daripada satu jam.

“Bagi lokaliti yang telah disahkan prevalen kes Covid-19 melebihi 10 peratus, ujian RTK-Ag itu boleh digunakan sebagai ujian pengesanan tanpa perlu mengulanginya dengan ujian RT-PCR.

“Namun begitu, penggunaan RTK-Ag sebagai ujian pengesahan hendaklah mendapat persetujuan jabatan kesihatan negeri dan dimaklumkan kepada CPRC Kebangsaan bagi pelaporan kes,” ujar surat pekeliling berkenaan.

Kembali ke strategi asal

Ketika dihubungi Malaysiakini, Dr Noor Hisham mengesahkan bahawa KKM kini kembali ke strategi asal – iaitu untuk menguji semua individu namun mengutamakan kontak rapat berisiko tinggi.

“Apabila mengalami peningkatan kes, fokus adalah kepada kebolehjangkitan tinggi yang merupakan (kes) bergejala tetapi kita juga mengasingkan kes (tidak bergejala).

“Strategi ini digunakan di kawasan berisiko tinggi dengan kes yang melambung tinggi ketika keputusan makmal lewat akibat jumlah (pesakit). Kita lakukan ini di Sabah dan Lembah Klang.

“Jadi (kita sekarang) kembali kepada pendekatan kita dari hari pertama, iaitu memberi keutamaan kepada golongan berisiko tinggi dan penduduk yang rentan,” jelasnya.

Kontak rapat bergejala dianggap berisiko tinggi kerana boleh menyebarkan virus berkenaan kepada orang lain.

Pesakit biasanya paling mudah menjangkiti individu lain antara hari ke-3 dan hari ke-10 setelah jangkitan. Gejala biasanya berlaku antara hari ke- 5 dan hari ke-10.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *