Kit Siang diadukan ke polis lepas bandingkan M’sia, Sri Lanka


Sebuah NGO berpendapat kenyataan veteran DAP Lim Kit Siang di blognya yang membandingkan krisis ekonomi Sri Lanka dengan keadaan ekonomi Malaysia seolah-olah menghasut rakyat negara ini untuk memberontak.

Presiden Pusat Aduan Rakyat (PAR) Malaysia, A Chandrakumanan, berkata perbuatan Lim itu yang menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan rakyat negara ini harus dikutuk.

“Apakah niat Lim memuat naik gambar itu? Adakah dia cuba menimbulkan rusuhan dalam kalangan rakyat dan cuba menanam kebencian antara rakyat Malaysia untuk melakukan perkara sama (rusuhan Sri Lanka) di sini?

“Perbuatan Lim ini tidak boleh dibiarkan sebab ia boleh menyebabkan rakyat bangkit menentang kerajaan sama seperti huru-hara di Sri Lanka,” katanya.

Terdahulu, Lim yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri membuat kenyataan di blognya bertajuk “Bolehkah Malaysia mendapatkan pengajaran dari Sri Lanka?”

Selain membandingkan prestasi ekonomi Malaysia dengan Sri Lanka, Lim juga membangkitkan soalan: “Adakah mungkin rumah perdana menteri dan menteri-menteri di Malaysia dibakar oleh penunjuk perasaan yang marah seperti yang berlaku di Sri Lanka minggu lepas?”

Dia turut bertanya: “Perkara ini tidak akan berlaku hari ini, bulan ini, atau tahun ini, tetapi mungkinkah ia berlaku sebelum negara kita mencatatkan ulang tahunnya yang ke-100 pada 2057 atau 2063?”

Chandrakumanan yang turut membuat laporan polis terhadap Lim meminta ahli parlimen berkenaan disiasat.

Laporan polis itu dibuat di Balai Dang Wangi 2 petang tadi.

Ketika dihubungi, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Dellhan Yahaya mengesahkan menerima laporan polis.

“Ya, saya mengesahkan menerima laporan polis,” kata Dellhan.

Untuk rekod, pada minggu lepas penunjuk perasaan di Sri Lanka mengadakan protes di luar kediaman Mahinda Rajapaksa bagi menuntut kerajaan menyelesaikan segera masalah gangguan elektrik.

Protes itu kemudian bertukar menjadi ganas dan kediaman perdana menteri itu dibakar.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.