Keuntungan bersih Leong Hup susut kepada RM113 Juta


KUALA LUMPUR, 23 Feb — Keuntungan bersih Leong Hup International Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2020 susut kepada RM113.15 juta berbanding RM150.58 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

Pendapatan turut menurun kepada RM6.04 bilion daripada RM6.05 bilion.

Bagaimanapun, pada suku tahunan, keuntungan bersih Leong Hup International naik hampir dua kali ganda kepada RM52.56 juta pada suku keempat tahun kewangan 2020 berbanding RM29.53 juta pada suku yang sama tahun kewangan 2019 manakala perolehan bagi suku itu meningkat 4.1 peratus kepada RM1.61 bilion berbanding RM1.54 bilion yang dicatatkan dalam suku yang sama sebelum ini.

Pengarah Eksekutif/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Lau Tuang Nguang dalam satu kenyataan berkata hasil bagi segmen ternakan dan produk berkaitan ayam menokok 2.9 peratus kepada RM899.55 juta berikutan harga jualan purata (ASP) yang lebih kukuh dan jumlah jualan anak ayam berusia sehari dalam operasinya di Indonesia serta peningkatan jumlah jualan dan ASP yang lebih tinggi untuk telur di Vietnam.

Beliau ketika mengulas mengenai prospek syarikat itu sedang menjurus ke arah pemulihan penggunaan serta permintaan yang akan berlaku sambil menjalankan kajian strategik termasuk meningkatkan perbelanjaan modalnya agar seiring dengan  peralihan dalam keadaan permintaan dan bekalan di tengah-tengah ketidaktentuan yang semakin kritikal. 

“Aktiviti ekonomi dijadualkan pulih pada 2021, terutama banyak negara telah mengumumkan program vaksinasi COVID-19 masing-masing.

“Syarikat telah membuat persediaan dengan melabur dalam operasi hiliran sambil membuka manfaat integrasi menegak di sepanjang rantaian nilai ayam,” katanya lagi.

— BERNAMA

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *