Kes Covid-19 di Australia pecah rekod angkara lonjakan Omicron


Australia hari ini melaporkan beban kes pandemik terbesar dihadapi negara terbabit setakat ini akibat kesan jangkitan varian Omicron.

Ia mengakibatkan kadar kemasukan ke hospital melonjak dan memberi tekanan teruk kepada rantaian bekalan barangan yang memaksa pihak berkuasa melonggarkan peraturan kuarantin untuk lebih ramai pekerja.

Selepas berjaya membendung virus itu lebih awal sebelum ini, Australia kini melaporkan hampir sejuta kes dalam tempoh dua minggu lalu.

Peningkatan ketara terus berlaku ketika penduduknya cuba menyesuaikan diri untuk hidup bersama coronavirus, dengan sekatan yang lebih longgar dilaksanakan.

Jumlah jangkitan yang dikesan sejak wabak itu bermula menghampiri 1.4 juta.

Lebih 147,000 kes baharu direkodkan di Australia sehingga kini, dengan kira-kira 92,000 kes di negeri paling ramai penduduk di New South Wales (NSW), walaupun jangkitan positif di rumah berkurangan sejak awal Januari.

Jumlah kemasukan baharu ke hospital dan orang yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) berada pada tahap tinggi sepanjang pandemik, tetapi pihak berkuasa berkata sistem kesihatan dapat menangani peningkatan kes.

Sebanyak 53 kematian baharu dilaporkan setakat ini, yang mana di NSW sebanyak 22 kematian dicatatkan.

Namun, kadar kematian semasa gelombang Omicron lebih rendah berbanding jangkitan varian sebelum ini di Australia, di mana lebih 92% individu berusia 16 tahun ke atas menerima dua dos vaksin dan suntikan dos penggalak juga semakin meningkat.

Ketika berlaku tekanan ke atas rantaian bekalan, pihak berkuasa negeri Victoria hari ini memberi pengecualian kepada lebih ramai pekerja yang dikenakan kuarantin akibat menjadi kontak rapat.

Kakitangan dalam perkhidmatan kecemasan, pendidikan dan pengangkutan dibenarkan kembali bekerja jika mereka tidak mempunyai simptom.

“Tiada penyelesaian segera untuk perkara ini,” kata Ketua Menteri Victoria, Daniel Andrews, semasa sidang media hari ini.

“Ini adalah perubahan yang masuk akal, ia akan membantu tetapi ia bukan segala-galanya, tiada penyelesaian mudah.”

Tindakan Victoria itu dilakukan menjelang mesyuarat Kabinet negara, yang disertai kumpulan pemimpin persekutuan dan negeri, di mana Perdana Menteri, Scott Morrison, akan membentangkan cadangan langkah melonggarkan tekanan kepada rantaian bekalan perniagaan.

Negeri Queensland hari ini memutuskan untuk membuka sepenuhnya sempadan domestiknya buat kali pertama dalam tempoh hampir dua tahun dengan pengembara tidak perlu membawa pas sempadan dan keputusan negatif Covid-19. -Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *