Kerosakan Jalan Akibat Banjir, Tanah Runtuh Diberi Perhatian – Wetrom


Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA MARUDU: Kerajaan negeri memberi jaminan masalah jalan yang terputus akibat banjir dan tanah runtuh di Pitas, Kota Marudu dan Kudat akan diberi perhatian segera.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Wetrom Bahanda berkata, masalah tanah runtuh yang berlaku di jalan utama Pitas telah diteliti dan usaha segera akan dilakukan bagi memastikan penduduk Pitas tidak terputus jaringan perhubungan.

Beliau, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau berkata, masalah tanah runtuh yang berlaku akan dilaporkan segera kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi proses selanjutnya.

“Kita baru lalu kawasan tanah runtuh sebentar tadi, saya telah mengambil maklum dan akan bertindak melaporkan segera kepada JKR bagi mencari jalan penyelesaian.

“Kita tidak mahu keadaan itu menjadi semakin teruk sehingga menjejaskan jaringan perhubungan dan pengangkutan Pitas dengan daerah lain.

“Saya yakin JKR akan bertindak pantas dan sentiasa dalam keadaan sedia untuk bertindak sekiranya masalah tanah runtuh kembali berlaku dalam masa terdekat,” katanya selepas melawat dan menziarah mangsa-mangsa di pusat pemindahan banjir dan mengagihkan bantuan di sekitar kawasan Kota Marudu, semalam.

Dalam pada itu, Wetrom berkata, kerajaan negeri juga mengaktifkan bantuan kepada semua mangsa terjejas banjir dan tanah runtuh di tiga daerah tersebut..

“Sejak Isnin, pusat pemindahan bagi mangsa-mangsa yang terjejas telah dibuka dan setakat ini, semua berada dalam pengurusan yang terkawal.

“Pihak kerajaan negeri dan saya sendiri sebagai pemimpin di kawasan ini akan terus memastikan keadaan ini berada dalam pemerhatian kerana kita tidak mahu mangsa-mangsa yang terjejas tidak dibantu,” ujarnya.

Wetrom berkata, kerja-kerja bantuan dan usaha menyelamat sentiasa dilakukan pihak berwajib yang sentiasa dalam keadaan bersiap siaga sekiranya menerima sebarang laporan daripada mangsa-mangsa terjejas.

“Syukur kerana kita semua telah bersiap siaga. Saya amat yakin bahawa pasukan-pasukan penyelamat kita yang amat berdedikasi membantu usaha-usaha menyelamat dengan kadar segera,” katanya.

Tambahnya, bagi kawasan Kota Marudu, bilik gerakan bencana alam turut diaktifkan bagi menerima sebarang aduan berkaitan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *